Arkib Blog

Wednesday, December 1, 2010

Anwar: Penswastaan bebankan rakyat, untungkan kroni


KUALA LUMPUR 1 Dis – Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hari ini sekali lagi diminta untuk memastikan konsep pengswastaan tidak membebankan rakyat dan bukan hanya menguntungkan syarikat kroni.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada konsesi air yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Selangor sebagai contoh jelas bagaimana rakyat Selangor di paksa membayar harga tinggi untuk air ketika negeri itu di bawah pimpinan Umno.

“Naik 31 peratus satu tahun. Kalau Pakatan Rakyat (Pakatan) tidak menang harga air di Selangor, naik 31 peratus. Ini yang dihalang oleh Kerajaan Pakatan, menteri jawab, ini terma dalam perjanjian. Saya setuju. Sebab itu kita katakan kita berunding semula dan minta Syabas mengambil kira kepentingan supaya jangan dibebankan. Bukan isu nak tolak, nak rombak perjanjian syarikat itu, tidak,” katanya.

Kerajaan Persekutuan Umno-BN setakat ini enggan menarik balik konsesi yang diberikan kepada Syabas sungguhpun syarikat itu melanggar terma-terma kontrak dan berkeras untuk menaikkan harga air.

Ahad ini, warga Selangor akan keluar beramai-ramai untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menuntut supaya kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada Syabas.

“Syarikat Kerajaan Negeri Selangor punya ekuiti. Benar, tetapi yang menentukan dasar pengeluaran ini ialah Syabas dengan ‘golden share’ Kerajaan Persekutuan. Saya pernah jadi Menteri Kewangan, jadi saya tahu apa dia ‘power of golden share’.

“Jadi, untuk Ahli Parlimen BN macam tak tahu langsung, itu tak betul. Tak berlandaskan fakta asas dalam membicarakan isu di parlimen ini. Yang dibantah Kerajaan Negeri Selangor ialah kenaikan keterlaluan. Bukan naik dua, tiga peratus setahun naik 31 peratus,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar berkata, Kerajaan Pakatan di Selangor yakin dapat menawarkan bekalan air pada harga yang lebih rendah jika diberikan peluang menguruskan perkhidmatan air negeri itu.

“Kerajaan Negeri Selangor mengatakan, mereka berupaya mendapatkan pinjaman, menguruskan syarikat ini dengan menjamin kos yang jauh lebih rendah.

Bagaimana kita jamin kos lebih rendah. Tentukan ada tender yang telus dan terbuka, ini akan menjamin kos yang rendah. Pokoknya kerajaan negeri selangor tidak menaikkan tarif kerana ini akan membebankan jutaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah,” jelasnya lagi.

Anwar kesal dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai agenda tersendiri apabila terus melindungi kepentingan Syabas dan bukannya kebajikan rakyat Selangor.

Saya harap menteri berlaku adil dalam hal ini serta bersifat terbuka dan telus. Perbincangan sudah dua tahun. Kerajaan persekutuan berikan tawaran tidak munasabah kerana kawalan masih pada syarikat dan tidak ada jaminan tentang harga yang berpatutan kepada rakyat Selangor, hujahnya, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, selain Syabas di Selangor, syarikat yang menjadi penjana letrik bebas atau IPP juga mengaut keuntungan yang keterlaluan sehingga memberi kesan kepada prestasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Prinsip penswastaan harus dilakukan secara telus. Pengalaman kita denga IPP menunjukkan kos meningkat, subsidi kepada sayrikat meningkat dan jawapan di parlimen soalan yang kita bangkitkan dijawab dengan remeh dan hambar. Kita minta apa kerugian dan masalahnya ini untuk kerajaan melihat semula perjanjian itu kerana perlaksanaannya itu jelas merugikan negara,” tambah Anwar.

Anwar kesal kerana segala gesaan rakyat mahukan Umno-BN untuk mengkaji semula kontrak IPP tidak diendahkan.

“Kita minta bukan merungkai syarat perjanjian. Tetapi memberikan ruang supaya mempertahankan kepentingan pengguna. Saya dengar ucapan ahli-ahli parlimen Umno dan MIC maklumat tidak tepat. Bukan nak batalkan semuanya. Soalnya ialah kenaikkan harga yang tidak dapat dipertahankan dan menjadi beban kepada pengguna,” kata bekas Menteri Kewangan itu.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009