SHAH ALAM, 1 Nov – Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin, menggesa SYABAS berhenti daripada menggunakan skim ‘Tabung Budi’ yang dilancarkannya selain menganggap skim tersebut sebagai topeng menutup segala kepincangan urus tadbirnya syarikat itu selama ini.
“Sekiranya SYABAS benar-benar ingin menolong rakyat, kembalikan hak air kepada rakyat Selangor. Jangan ‘menderma’ ratusan ringgit namun pada masa yang sama mencuri ratusan juta wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Pada masa yang sama kita sentiasa mengalu-alukan sektor swasta yang prihatin dan ingin turut serta membantu rakyat; secara terbuka dan ikhlas, sekali gus melaksanakan tanggung jawab sosial mereka. Ia adalah unsur penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani terutama di negeri terkaya seperti Selangor, katanya.
Faekah mempertikaikan perlaksanaan skim ‘Tabung Budi’ tersebut yang dilihat tidak masuk akal.
“Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan semula kepada SYABAS.
“Modus operandinya tidak masuk akal kerana kerajaan negeri membayar SYABAS dengan harga penuh, iaitu RM 11 juta sebulan. SYABAS tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu. Jika ia dilakukan, SYABAS akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama,” ujarnya.
Tegas Faekah lagi, lebih memeranjatkan, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang dari potongan gaji para pekerja SYABAS sebanyak RM 11.40 sebulan.
Persoalannya, apakah potongan gaji sebanyak RM 11.40 adalah sama untuk semua pekerja SYABAS; baik pekerja kolar putih mahupun kolar biru? Adakah juruteknik SYABAS yang berpendapatan RM 2,000 sebulan akan menerima pemotongan gaji sama jumlahnya dengan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail yang dibayar RM 425,000 sebulan atau RM 5.1 juta setahun?
Sebelum ini pengumuman pelancaran program Syabas ini juga menimbulkan tanda tanya. Mengapa iadiilhamkan ketika intergriti SYABAS begitu tercalar.
Laporan audit SYABAS menunjukkan bahawa lebih daripada 72 peratus kontrak yang diberikan oleh syarikat itu, dengan nilai sebanyak RM600 juta, telah dianugerahkan secara langsung tanpa tender terbuka dan dilaksana tanpa ketelusan.
Malahan terdapat juga perbezaan sebanyak RM325 juta apabila akaun awam SYABAS dibandingkan dengan rekod-rekod kontrak yang dianugerahkan.Faekah juga menegaskan ada yang tidak kena dengan rekod SYABAS.
Rekod juga menunjukkan betapa pengurusan SYABAS dijalankan dengan boros contohnya RM 51.2 juta digunakan semata-mata untuk mengubah-suai pejabat sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.
Menurut Faekah lagi, audit juga mendedahkan bahawa pada Jun 2005, SYABAS melanggar syarat konsensi dengan menganugerahkan kontrak untuk membeli paip kepada sebuah syarikat Indonesia yang bernilai RM375 juta sedangkan syarat jelas memperuntukkan hendaklah menggunakan paip buatan tempatan. Bukti mendapati bahawa Syarikat Indonesia tersebut adalah kepunyaan Tan Sri Rozali sendiri.
“Pada saya, ia jelas merupakan gimik dan sekadar latihan perhubungan awam demi memulihkan imej hodoh SYABAS ketika ini. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia sekadar topeng. Ketidakikhlasan SYABAS juga menyerlah apabila dalam pada Encik Abdul Halim meminta supaya isu ini tidak dipolitikkan, tiba-tiba terpacul pula Ahli Parlimen dari Hulu Selangor, P Kamalanathan pada pelancaran ‘Tabung Budi’ tersebut.
Lebih menghairankan, SYABAS langsung tidak meminta pandangan kerajaan negeri mahupun berbincang mengenainya,” katanya.
Faekah menegaskan bahawa SYABAS tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma dari mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari pada kerajaan negeri. Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan tersebut mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada SYABAS.
Sumber: Selangorkini
0 comments:
Post a Comment