Arkib Blog

Tuesday, November 9, 2010

SPRM digesa siasat dakwaan penyelewengan Felcra

PUTRAJAYA, 9 Nov: Satu laporan dakwaan penyelewengan Felcra dalam perlaksanaan Projek Pembangunan Pulau Bangi, Sabah diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan diserahkan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman di pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

"Kita menggesa SPRM menubuhkan special Task Force untuk siasat projek ini.

"Ianya bukan sahaja melibatkan kos besar, tapi penyelewengan menteri dan pengurusan kanan Felcra," katanya yang juga Pengerusi Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak).

Beliau mendakwa, Projek Agropolitan Pulau Bangi yang dibangunkan pada 2006 dengan kos RM167 juta, untuk penanaman getah di atas tanah seluas 2000 ekar dibuat tanpa kajian awal sehingga merugikan wang rakyat.

Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Datuk Seri Aziz Shamsuddin.

Ianya termasuk faktor cuaca panas 7 hingga 8 bulan setahun di pulau tersebut, kadar kemasinan tanah yang tinggi dan ombak besar yang berisiko merosakkan tanaman.

Selain itu, Lembaga Getah Sabah juga didakwa menolak syor menanam getah tersebut, manakala anak syarikat SEDC Sabah juga menolak syor untuk penanaman kelapa sawit namun tidak dipedulikan Felcra.

"Kerajaan mesti membuat perisytiharan rasmi tentang status projek tersebut agar wang rakyat tidak dibazirkan sesuka hati," katanya lagi.

Selain itu, Felcra juga didakwa membazirkan sejumlah RM40 juta untuk membina Empangan Air dan RM25 juta untuk membina 100 buah rumah peserta sedangkan tiada apa-apa hasil selepas 3 tahun projek itu berjalan.

Malah terdapat juga dakwaan bahawa kontrak membina empangan tersebut dibuat secara runding terus.

Sehingga kini katanya, kemajuan tanaman getah tersebut hanya statik, dan Felcra juga telah membayar gaji bulanan kepada peserta antara RM 18 hingga RM20 bermula 2007.

Beliau juga mahu kebenaran, sama ada benar sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan untuk projek tersebut untuk 2008, 2009 dan 2010.

"Kita juga mahu siasatan menyeluruh dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab dan mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya sambil menunjukkan senarai nama mereka yang didakwa terlibat.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009