AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, November 12, 2010

Proses undi 12 cabang PKR berlangsung tanpa nama Zaid

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Pengundian pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat hari keenam hari ini — yang diteruskan walaupun ada desakan agar dibatalkan — sedang berlangsung dengan tanpa nama Datuk Zaid Ibrahim pada kertas undi bagi jawatan timbalan presiden.

Kertas undi baru yang sudah pun mengeluarkan nama Zaid, yang memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding Isnin lalu, siap dicetak awal pagi tadi untuk diedarkan kepada 12 cabang yang mengadakan proses pengundian hari ini.

Proses pengundian bermula 10 pagi tadi dan akan berakhir 4 petang ini.

Lapan daripada 12 cabang terbabit terletak di Kedah manakala baki empat di Kelantan.

Esok sebanyak 41 cabang akan mengundi, kebanyakannya di Lembah Klang dan negeri-negeri utara Semenajung dan beberapa lagi di Sarawak.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan daripada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.

Dr Cheah berkata pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

Selasa lalu, Mustaffa Kamil Ayub yang juga Pengerusi PKR Perak berkata pembatalan dan perjalanan semula pemilihan di peringkat pusat adalah perlu kerana sehingga kini terdapat sebanyak 162 aduan telah dibuat terhadap kepincangan dan integriti JPP.

Pagi tadi, Mustaffa mengumumkan bahawa beliau tetap akan bertanding jawatan nombor dua itu walaupun dalam keadaan protes dengan kecacatan dan kelemahan yang belum diatasi sepenuhnya.

“Kertas undi yang digunakan mulai hari ini tidak ada nama Datuk Zaid, di mana kertas undi baru bagi jawatan timbalan presiden siap dicetak sekitar pukul 1 pagi tadi dan sempat dihantar ke semua cabang yang mengadakan pengundian hari ini,” kata Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.

Katanya, oleh kerana JPP hanya menerima notis daripada Zaid kelmarin, maka kertas undi baru tanpa nama beliau sebagai calon mula dicetak semalam dan siap awal pagi ini.

Berdasarkan pengundian lima hari pertama, Azmin Ali telah mengumpulkan 6,467 undi manakala Zaid di tempat kedua dengan 3,988 undi manakala Mustaffa pula 1,215 undi.

Zaid memutuskan untuk menarik diri atas dakwaan proses pemilihan diselubungi kecacatan dan manipulasi.

Pemilihan pusat yang berlangsung mulai 29 Oktober lepas secara berperingkat-peringkat akan berakhir 21 November ini. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Setakat 7 November lalu, sebanyak 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian bagi pemilihan jawatan pusat.

Pada keseluruhannya proses pengundian hari ini berjalan lancar, kata Raden Shamsulkamar yang turut menambah bahawa setakat tengah hari tadi, pihaknya ada menerima berapa aduan kecil mendakwa proses pengundian dijalankan dengan terlalu perlahan.

“Misalnya ada aduan bahawa pemberian kertas undi terlalu perlahan, ia tidak serius hingga melibatkan 100 orang (pada satu-satu masa), cuma lima hingga enam orang yang beratur (lama)... ini perkara biasa apabila nama-nama diperiksa dengan teliti,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, kata Raden Shamsulkamar, pihaknya telah meminta agar kepimpinan negeri dan cabang agar mempertingkatkan usaha bagi menggalakkan ahli-ahlinya keluar mengundi dalam jumlah yang banyak.

Wujud dakwaan bahawa peratusan keluar mengundi kemungkinan merosot ekoran tindakan Zaid menarik diri daripada bertanding.

Mengenai kertas undi dicetak malam tadi, Raden Shamsulkamar berkata, pihaknya mengeluarkan kertas undi pada anggaran sekitar 30 peratus berbanding jumlah keahlian di sesebuah cabang.

Sumber: Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009