AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, November 18, 2010

Polis Disaran Ambil Kursus Komunikasi


KUALA LUMPUR 18 NOV: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran mengambil kursus berkaitan kemahiran berkomunikasi, termasuk pelbagai bahasa, sebagai langkah menyerapkan rasa 'mesra' dan 'melindungi' terutama ketika berhadapan dengan orang awam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata latihan itu penting bagi mengelakkan berlaku salah faham antara polis dan masyarakat serta tuduhan kononnya polis tidak mesra masyarakat.

"Mereka (polis) harus dilatih dengan latihan ataupun kursus yang berkaitan dengan komunikasi agar ketika berhadapan dengan masyarakat, hubungan itu menjadi semakin erat dan orang ramai sendiri tidak akan takut untuk membuat laporan polis atau menyalurkan sebarang maklumat.

"Dengan latihan sebegitu, jika ada pengadu yang membuat laporan polis, anggota yang bertugas tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan pengadu secara

profesional dan mesra tanpa menyinggung perasaannya sekaligus tiada tuduhan bukan-bukan dari masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas forum meja bulat NKRA untuk pengurangan jenayah di Wisma Bernama di sini semalam.

Lee berkata anggota polis juga disaran mengamalkan 4P -- People Oriented (berorientasikan masyarakat), Protective (melindungi), Performance (pencapaian) dan Proactive (proaktif) -- bagi meningkatkan profesionalisme pasukan itu dan sebagai landasan mengurangkan kadar jenayah.

Beliau berkata konsep kepolisan yang memerlukan penglibatan masyarakat itu penting bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap usaha dan langkah-langkah yang dilakukan dalam mengurangkan jenayah.

"Ia (perbetulkan persepsi) perlu dilakukan pihak polis kerana masih ramai yang buat komen sinikal terhadap polis dan mereka memperkecilkan usaha yang telah diambil, mereka tak percaya apa-apa perangkaan yang dikeluarkan oleh polis," katanya.

Beliau berkata melalui dasar 'People Oriented' ini, polis perlu merapatkan hubungan dengan masyarakat agar segala maklumat mudah disalurkan dan ia secara tidak langsung dapat mengekang kadar jenayah di negara ini.

"Di MCPF, kami akan mengundang pihak polis dalam apa juga aktiviti atau program kami. Ini merupakan peluang terbaik mereka (polis) untuk berinteraksi dengan orang ramai dan bertanya seberapa banyak soalan atau keraguan kepada mereka.

"Melalui aduan, kenyataan dan kesangsian ini, pihak polis secara tidak langsung dapat mengkaji usaha atau mekanisme yang boleh dilakukan agar dapat menangani masalah itu, yang akhirnya memberi kepuasan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata selain itu, apabila polis membuat rondaan di kawasan perumahan, mereka (polis) boleh mengambil kesempatan itu untuk berinteraksi dengan orang ramai termasuk bertanya hal kebajikan serta persepsi tentang jenayah di tempat mereka.

Lee berkata 'People Oriented' itu seharusnya dapat dilaksanakan ke peringkat akar umbi PDRM kerana pada akhirnya masyarakat juga yang akan menilai tahap, usaha dan pencapaian PDRM dalam mengekang jenayah di negara ini.

"Saya nak cadangkan ini kerana ia merupakan satu tindakan yang sepatutnya diambil oleh polis. Saya rasa mereka mesti mengambil tindakan proaktif bagi memastikan mereka boleh membina hubungan yang harmoni dengan masyarakat, lebih mesra kepada masyarakat.

"Apa yang penting pada akhirnya ialah mereka mesti memastikan bahawa polis dan masyarakat bekerjasama, mereka boleh memahami antara satu sama lain dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata setiap anggota polis juga perlu memastikan diri mereka boleh dijadikan contoh terbaik kepada masyarakat jika mahu dipandang tinggi, dihormati dan menerima persepsi positif daripada mereka.


Sumber: Bernama.

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009