Arkib Blog

Tuesday, November 30, 2010

Guan Eng: Tiada Kabel Politik, PP Mahu Martabat Kontraktor Melayu.


GEORGETOWN 30 NOV: Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bertujuan menghapuskan kabel politik bagi mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Langkah ini juga menurut Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuktikan kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari Umno sahaja.

"Di Pulau Pinang, mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer," katanya.

Di sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Guan Eng berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pedoman pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

"Malah, program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81 peratus daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu di Pulau Pinang.

"Biarlah Umno-Barisan Nasional menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti-Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan

Kedua Pulau Pinang daripada 24.5 peratus sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus di masa depan, jelasnya.

Tambahan sub-kontraktor daripada Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor Pulau Pinang mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.

Bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil ini dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepada Guan Eng dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5 peratus sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, tambahnya.

Kerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer ini akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.

Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn. Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn. Bhd., IJM Contructions Sdn. Bhd., HRA Teguh Sdn. Bhd.

Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009