Arkib Blog

Tuesday, November 23, 2010

Bubar Semua Parti Komponen BN, Kata MP Bakri


KUALA LUMPUR 23 NOV: Kesemua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang berasaskan perkauman harus dibubarkan bagi tujuan melenyapkan sentimen perkauman, cadang ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa.

Menurut Teck Hwa, tindakan BN memperkenalkan pendaftaran ahli BN secara terus, ahli-ahli parti, Rakan BN dan Kelab Sabahat BN, membuktikan kuasa Umno semakin berleluasa dalam BN, sekaligus menganaktirikan parti komponennya yang lain.

Beliau yang dipetik dari Harakahdaily berkata, Umno merupakan sebuah parti pemerintah yang tidak jauh bezanya dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mengamalkan perkauman.

“Kekuasaan mutlak Umno dalam BN telah meminggirkan peranan parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, parti komponen yang berasaskan sokongan orang Cina seperti MCA dan Gerakan telah dianggap sebagai penakut dan pengecut oleh pengundi kerana gagal untuk melawan keangkuhan Umno.

Lantaran itu katanya, adalah penting kepada BN menghapuskan polisi yang berasaskan perkauman sekiranya benar-benar mahu membawa kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Bagaimanapun ujarnya, jangka hayat politik Umno yang bergantung kepada perkauman, mengakibatkan parti itu tidak mungkin menghindari amalan perkauman yang sebati dengan jiwa mereka.

“Mereka masih perlu menggunakan isu perkauman untuk mencari populariti murahan. Kekuasaan mutlak Umno dalam BN semakin mengikis dan merampas peranan parti komponen berasaskan orang Cina dalam BN,” ujarnya.

Menurutnya, organisasi bukan kerajaan (NGO) 1Malaysia yang dilancarkan pada Pilihan raya kecil Dun Galas, baru-baru ini sekali lagi membuktikan Umno tidak memerlukan parti komponen berasaskan orang Cina untuk mencapai kejayaan.

“Hal ini akan membawa kepada situasi di mana Umno akan merampas kerusi dari parti komponen mereka kerana pencapaian parti komponen yang kurang memuaskan.

“Walaupun parti komponen menentang tindakan BN untuk membuka keahlian BN, namum hal ini telah berjaya dilaksanakan dan sesiapa pun tidak akan menjamin apa yang bakal berlaku pada masa depan,” ujarnya.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009