AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, November 23, 2010

Anti ISA: Jurufoto polis hanya jalan tugas

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Perbicaraan 29 tertuduh kes himpunan anti-ISA, 1 Ogos tahun lalu masuk hari kedua hari ini yang bermula dengan menyambung soal balas saksi pertama, Koperal Nizam Yahya, iaitu jurufoto polis Bukit Aman yang diarah mengambil gambar himpunan di sekitar Masjid Negara.

Manakala saksi kedua, Sarjan Mujni yang juga bertugas sebagai jurufoto di Bukit Aman ditugas mengambil gambar di sekitar kompleks Sogo.

Kedua-dua saksi memberitahu mahkamah, menerima arahan dari pegawai atasan untuk mengambil gambar di kawasan yang ditetapkan.

Ketika ditanya peguam, Sarjan Mujni bersetuju bahawa beliau hanya menjalankan tugas mengambil gambar dan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Kesemua mereka dituduh secara berasingan dengan beberapa pertuduhan, namun dibicarakan bersekali kerana pertuduhan hampir sama.

Antara pertuduhan tersebut mendakwa mereka terlibat sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan melakukan mudarat awam, di kawasan letak kereta di belakang Masjid Negara pada jam 9 pagi, 1 Ogos lalu.

Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Turut hadir melawat orang kena tuduh (OKT) di Mahkamah Sesyen Jenayah hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Manakala dalam perbicaraan semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anuar diarah keluar dari bilik mahkamah.

Hakim, Ainul Shahrin Mohamad membuat arahan itu kerana mendakwa Nurul Izzah 'membuat bising' semasa perbicaraan sedang berjalan.

Pada 1 Ogos lalu, kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mereka berhimpun di kompleks membeli-belah Sogo, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, Masjid Negara serta di perkarangan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Perhimpunan itu juga bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Himpunan itu bagaimanapun berdepan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air serta membuat tangkapan bagi meleraikan orang ramai.

Perhimpunan itu berakhir jam 3.45 petang dengan 589 orang termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun dan 40 wanita ditangkap.

Dari jumlah itu, hanya 29 dituduh di mahkamah manakala yang lain dibebaskan.


Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009