AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, October 19, 2010

Projek Bakun Hanya Untungkan Kroni : Anwar


KUALA LUMPUR 19 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembinaan projek Empangan Bakun hanya menguntungkan kroni dengan menggunakan wang rakyat.

"Sepanjang projek pembinaan Bakun, pelbagai pihak dan kroni kerajaan yang mendapat faedah. Tetapi akhirnya yang menanggung pembiayaan projek tersebut adalah KWSP dan KWAP yang berjumlah RM5.75 bilion.

"Kos keseluruhan Empangan Bakun yang dilaporkan adalah RM7.3 bilion tidak termasuk tanggungan faedah oleh kerajaan, impak sosial dan persekitaran," Anwar berkata demikian dalam perbahasan bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam.

Tegas Anwar lagi, "Terbaru, sudah ada bidaan untuk membeli Empangan Bakun daripada Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB). Adalah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menawarkan harga RM6.3 bilion akan memperoleh empangan tersebut. Tawaran harga tersebut adalah RM1 bilion lebih kurang daripada kos pembinaan Bakun."

"Perundingan penjualan Empangan Bakun dilakukan secara tertutup antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Amalan sedemikian adalah bercanggah dengan jaminan kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia selari dengan pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) baru-baru ini," katanya.

Berdasarkan perancangan asal pembinaan Empangan Bakun, Kerajaan Persekutuan pernah berhasrat untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia menerusi kabel dasar laut. Atas sebab-sebab tertentu dan dasar yang tidak menentu, projek tersebut dihentikan.

Anwar juga mempersoalkan pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas yang dilihat mengulangi jejak langkah pembinaan Empangan Bakun yang dikritik ramai.

"Tanpa Dasar Tenaga Nasional yang konsisten dan mapan, adakah pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas ini menjejak balik langkah lama sama dengan Bakun?. Lagipun, memandangkan projek ini dijalankan dalam bentuk Perkongsian Awam-Swasta (PPP), adakah ia bermaksud pihak yang mendapat projek ini akan menjadi Penjana Kuasa Bebas (IPP) terbaru?."

Anwar juga mendesak agar subsidi kepada IPP dinilai semula apabila kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi setiap tahun.

" Adalah diperingatkan bahawa kerajaan sekarang menanggung subsidi kepada IPP sebanyak RM22 bilion setahun. Adakah perjanjian dengan IPP akan dinilai semula untuk mengurangkan subsidi kepada korporat besar?" tegas Anwar.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009