KUALA LUMPUR 14 OKT : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Kementerian Kewangan menarik balik dari Parlimen cadangan pindaan kepada Akta Agen Hartanah, Pengukur dan Penilai 1981 (VAEA Act), yang diramal akan membebankan pemilik hartanah.
Selain itu, kata Ahli Parlimen PKR-Subang R Sivarasa, cadangan pindaan Akta itu akan mewujudkan monopoli oleh para penilai dalam pengurusan hartanah.
"Pindaan ini, jika dilaksanakan, akan memberi kesan buruk kepada dua juga pemilik strata rumah pangsa, apartmen dan kondominium di negara ini, yang akhirnya terpaksa membayar yuran tambahan di antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
"Yuran sebanyak ini, hanya akan dikongsi di kalangan 800 penilai sahaja, yang berdaftar sekarang ini," terangnya kepada para pemberita di lobi Parlimen semalam.
Katanya, "malahan sekarang ini pun, pemilik-pemilik apartmen kos rendah dan sederhana sedang menghadapi masalah untuk membayar yuran penyelenggaraan.
Yuran penyelenggaraan tambahan "Dengan cadangan pindaan itu, para pemilik terpaksa membayar yuran penyelenggaraan tambahan sebanyak RM76 sebulan," terang beliau.
Adalah dilaporkan sebelum ini, pindaan yang dicadangkan oleh Lembaga Penilai, Pengukur dan Agen Hartanah itu meliputi ke semua jenis milikan hartanah dan memonopoli fungsi pengurusan hartanah. Pindaan itu akan memberi hak eksklusif kepada para penilai, termasuk pengurusan bangunan,
pengurusan pajakan, pengurusan penyelenggaraan am dan kemudahan serta seterusnya menafikan hak milik berasingan dan pengurusan.
Menurut Sivarasa, pindaan-pindaan ini adalah bercanggah dengan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599). "Ini akan menggalakkan rasuah, pilih kasih dan aktiviti-aktiviti "dibelakang tabir" dalam industri pengurusan hartanah.
Kos yang ditanggung hasil dari kesan negatif ini akan disalurkan kepada para pemilik tanpa peningkatan nilai kepada perkhidmatan.
Katanya lagi, pindaan-pindaan ini juga bercanggah dengan Akta Bangunan dan Persamaan Hartanah (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 dan Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318).
0 comments:
Post a Comment