SHAH ALAM 11 Okt - Pengerusi Biro Felda dan Hal Ehwal Orang Asal KEADILAN Pusat, Suhaimi Said berkata tindakan peneroka menyaman Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) adalah disebabkan keengganan agensi itu membayar wang Tabung Tanam Semula yang dipotong setiap bulan.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kononnya tindakan menyaman Felda hanya merugikan peneroka Suhaimi berkata tindakan undang-undang diambil kerana sikap agensi itu yang menyebabkan peneroka hilang sabar dan mengheret isu ini ke mahkamah.
"Bagi kita, saman itu juga tidak penting, yang pentingnya Felda harus bersikap adil kepada peneroka. Isu wang Tabung Tanam Semula, masih ramai lagi peneroka yang belum menerimanya, cuma separuh daripada mereka yang menerima bayaran itu. Perkara inilah yang harus Felda selesaikan.
"Mengenai peneroka kemuka saman berhubung bayaran Tabung Tanam Semula di mahkamah, perkara ini bukan baru tetapi sudah lama mereka minta tapi tidak diberikan.
"Kalaulah Felda bersikap adil kepada peneroka, kita pun tidak perlu mengemukakan saman dan kita minta Felda jangan tipu peneroka," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Katanya, selepas mahkamah mengeluarkan perintah kepada Felda membuat bayaran kepada peneroka terbabit barulah agensi itu bertindak membuat bayaran.
"Sampai mahkamah pun minta supaya Felda jangan tipu peneroka, bukan sahaja Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan bahkan Mahkamah Persekutuan pun minta agensi itu jangan menipu peneroka.
"Saya nak cakap kepada Ahmad Maslan, yang kemukakan saman ini, bukan hanya peneroka pihak pembangkang sahaja, malahan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai parti dan juga dari kalangan ahli Umno sendiri.
"Ini bukan masalah pihak pembangkang tetapi adalah masalah peneroka," tegas beliau lagi.
Sementara itu, Suhaimi berkata pihaknya juga akan mengemukakan saman terhadap artikel di majalah Felda yang didakwa memfitnah peguam yang mewakili peneroka kononnya menerima bayaran RM5,000 bagi setiap peneroka untuk mengemukakan saman terhadap agensi itu.
"Jangan cuba nak kelentong sebab peguam cuma ambil RM50 dari setiap seorang peneroka, itu pun bukan untuk yuran guaman tetapi untuk proses ke mahkamah, kita akan saman atas kenyataan berbaur fitnah terhadap peguam kita ini," jelas Suhaimi.
Tambahnya, artikel itu turut menuduh peguam yang mewakili peneroka ini datang menaiki kereta mewah sambil menginap di hotel mewah bagi menemui peneroka di kawasan Felda.
Beliau turut mencabar Ahmad menyatakan jumlah bayaran kepada peguam untuk agensi itu mengemukakan saman kepada lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan sumber dana bagi membayar khidmat peguam itu yang juga bertindak sebagai peguam Umno.
"Adakah RM100,000 atau RM200,000 dan daripada manakah wang untuk membayar khidmat peguam ini?" cabar Suhaimi.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment