Arkib Blog

Wednesday, September 1, 2010

Umno 'Arif' Agama Anjur Pertandingan Menghias Pengantin Dalam Surau


SHAH ALAM 1 Sept Ogos - Dalam usaha giat Umno-Barisan Nasional melempar fitnah siang dan malam terhadap pemimpin Pakatan Rakyat tanpa mengira samada bulan suci Ramadhan atau tidak, parti usang ini lupa bahawa Umno Kuala Langat bersama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) didakwa pernah menganjurkan pertandingan tatarias pengantin di dalam premis yang dipercayai ruang solat Surau Al Falah.

Pertandingan tersebut yang menjadi sebahagian daripada program Karnival Juara Rakyat yang didakwa diadakan pada 9 Mei lalu yang disertai oleh sekumpulan belia lelaki dan perempuan Islam yang bergaul secara bebas tanpa batasan muhrim.

Perkara ini didedahkan dalam sedutan video selama dua setenganh minit melalui laman sosial Facebook yang menyiarkan rakaman pertandingan tatarias pengantin di dalam surau tersebut.

Klip video yang bertajuk 'Jawapan Kepada Isu Teo Nie Ching Masuk Surau' menyiarkan rakaman sekumpulan wanita yang dipercayai anggota Puteri Umno di dalam sebuah bangunan yang mana pada pintunya tertera papan tanda 'Surau Al-Falah'.

Lawatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al Huda di Kajang Sentral 22 Ogos lalu telah dijadikan bahan politik murahan Umno-BN dengan mendakwa ahli politik DAP itu telah mencemarkan kesucian ruang solat surau tersebut dengan menyampaikan ucapan ringkas.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melabelkan Nie Ching sebagai orang bukan Islam yang 'kotor'.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan pimpinan Umno sebagai jahil agama apabila menghalang orang bukan Islam untuk datang ke surau dan masjid bagi tujuan baik, sedangkan dalam masa yang sama merekalah yang kedepan sekali mencemar kesucian tempat ibadah tersebut.

"Ini membuktikan Umno tidak menghormati kawasan atau ruang orang Islam melakukan ibadat. Bagi mereka semuanya halal dan boleh belaka," kata Abdullah Sani.

Apa yang mengejutkan program Juara Rakyat anjuran Umno itu menjadikan ruang solat surau tersebut sebagai tempat bagi pertandingan mendandan sekumpulan gadis yang mengambil bahagian dalam pertandingan menghias pengantin itu.

Klip video itu turut memaparkan beberapa wanita Islam yang tidak memakai tudung menutup aurat dihiasi serta dikenakan mekap oleh pendandan lelaki.

Pada montaj klip video tersebut dipaparkan persoalan untuk renungann, 'Umno Kecam Teo Masuk Surau Kerana Tidak Menutup Aurat Dan Membawa Isu Politik Ke Dalam Surau, Tetapi Tahukah Anda Puteri Umno Tidak Menutup Aurat Dan Mereka Membawa Isu Politik Ke Dalam Masjid?'.

"Jika benarlah rakaman video tersebut, tindakan inilah yang sebenarnya menghina rumah ibadat," tambah Abdullah Sani.

Beliau berpendapat Umno-BN akan terus memainkan isu sensitif perkauman dan agama, terutamanya apabila sokongan rakyat kepada mereka semakin menurun.

Baginya tindakan tersebut merupakan usaha bagi memecahbelahkan masyarakat di negara ini.

"Memang inilah budaya Umno. Kepada mereka, semuanya halal. Judi halal, rasuah halal dan menyalah gunakan rumah ibadat pun halal. Nampaknya Umno ingin mengatasi hukum agama," tegas Abdullah Sani.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009