AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, September 17, 2010

Polis Lambat Bertindak, Majlis Peguam Kesal


KUALA LUMPUR, 17 SEPT- Majlis Peguam Malaysia kesal dengan sikap polis yang melengah-lengahkan siasatan terhadap peguam yang mempunyai rekod jenayah walaupun laporan polis telah dibuat.

Menurut Presidennya, K Ragunath, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam pada setiap tahun dan laporan polis telah dibuat terhadap mereka yang terlibat namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun hanya itu kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

“Isu kami di sini ialah, polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam yang menyeleweng,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini timbul cadangan daripada pemimpin masyarakat dan orang ramai yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saranan itu dibuat berikutan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua adik-beradik peguam.

Selain itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

“Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal,” katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki, iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor, sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009