SHAH ALAM 16 Sept - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2010 dilihat sebagai satu lagi ujian kematangan pemimpin dan anggota parti dalam usaha membuktikan bahawa KEADILAN adalah sebuah parti masa depan yang dinamik serta menjadi parti harapan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menurut Ketua Penarangan KEADILAN Perak, Zulkifly Ibrahim, sejak 10 tahun yang lalu terbukti KEADILAN mampu menempuh pelbagai masalah yang merangkumi masalah rakyat, Pakatan Rakyat termasuk menangani masalah dalaman parti.
Dalam usia yang muda ia berupaya memberi sumbangan yang besar kepada politik tanahair sehingga mengetuai membentuk satu blok ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menggerunkan Umno-Barisan Nasional di Dewan Rakyat disamping menerajui kerajaan negeri Selangor serta memperolehi bilangan kerusi yang membanggakan di peringkat Dewan Undangan Negeri diseluruh negara.
"Dalam Konteks pemilihan parti, walaupun kononnya terdapat perpecahan disebabkan pelbagai pemimpin dan ahli yang menwakili NGO, bekas Umno dan reformis, namun realitinya KEADILAN masih bertahan dan digeruni oleh banyak pihak terutama sekali Umno. Seperti yang disepakati oleh ahli dalam Kongres Khas untuk menjadikan KEADILAN sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, sudah tentu dalam pemilihan ini kita ingin melihat sejauh mana demokrasi benar-benar di terjemahkan kepada realiti," kata Zulkifly dalam satu kenyataan semalam.
Beliau juga menyokong kenyataan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melihat suasana persaingan yang sihat dikalangan semua calon yang bertanding dengan mematuhi etika pemilihan sepenuhnya dan tidak membuat dakwaan mendapat restu dari beliau.
Kata Zulkifly lagi mana-mana calon yang mengguna nama Anwar dan keluarganya dalam pemilihan ini tidak mempunyai kredibiliti tersendiri kerana hanya mampu menumpang kewibawaan orang lain.
Tambah beliau yang pernah menerajui KEADILAN Perak satu ketika dahulu, KEADILAN adalah sebuah parti yang inginkan satu budaya politik baru di negara ini.
Bagi mencapai matlamat ini Zulkifly mencadangkan agar pemilihan kepimpinan parti hendaklah terbuka kepada calon yang benar-benar layak.
"Tidak timbul persoalan perpecahan dalam parti. Ada pandangan jawatan Timbalan Presiden tidak di pertandingkan untuk mengelak daripada berlakunya perpecahan dalaman adalah tidak munasabah.
"Asas penilaian terhadap calon dalam pemilihan kali ini adalah mereka yang setia dan berada dalam parti sejak ditubuhkan. Calon daripada golongan muda hendaklah dipertimbangkan yang telah melaksanakan tanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan oleh parti dengan cemerlang. Calon yang dipilih juga harus disenangi oleh ahli dan tidak pernah menimbulkan konflik dalam parti sebelum ini," tegas beliau lagi.
Zulkifly juga berkata sebagai parti yang mengamalkan politik serta budaya baru, penggunaan politik wang hendaklah ditolak.
Mereka yang mengamalkan budaya caci mencaci dan menabur fitnah terhadap calon saingan dianggap tidak sesuai berada dalam kepimpinan parti.
"Yang paling penting calon yang bertanding mestilah mempunyai fikrah yang baik dari sudut agama, kemampuan berinteraksi dengan ahli daripada pelbagai kaum dan berupaya menarik lebih ramai orang Melayu menyertai KEADILAN," ujarnya.
Berhubung desakan Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak meminta Pengerusi, Mustaffa Kamil Ayub bertanding jawatan Timbalan Presiden, Zulkifly berkata Mustaffa sememangnya layak menduduki jawatan tersebut.
"Beliau seorang pemimpin yang pernah berada dalam kepimpinan utama parti seperti Pemangku Pemuda Keadilan Nasional, pernah menjadi Setiausaha Agung Parti, mengetuai beberapa biro penting seperti biro latihan , biro antarabangsa dan juga sekarang sebagai Naib Presiden.
"Beliau antara pemimpin yang kanan dalam KEADILAN dan pernah diberi kepercayaan menjadi Pengerusi MPN Sarawak, Terengganu dan kini Perak," jelas Zulkifly.
Beliau juga menggesa semua cabang negeri Perak mencalonkan Mustaffa sebagai calon Timbalan Presiden dalam proses pemilihan yang akan bermula minggu ini.
"Permuafakatan pemimpin dan ahli cabang terhadap Saudara Mustafa sangat penting kerana pemilihan beliau nanti akan memberi kesan yang tinggi untuk memulihkan imej KEADILAN Perak akibat daripada kemelut dua Exco KEADILAN melompat parti pada 2009 yang lalu," kata Zulkifly lagi.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment