Arkib Blog

Monday, September 6, 2010

Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Patut Dipersalahkan, Kata Mahfuz


Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan patut dipersalahkan dalam kontroversi penyiaran iklan TV3 sempena Hari Raya tahun ini yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Pendirian Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ini berdasarkan kepada jawapan bertulis Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu, Datuk Shaziman Abu Mansor pada sidang Dewan Negara 2004.

Dalam jawapan itu, Shaziman menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM bekerjasama dengan Lembaga Penapisan Filem untuk memastikan semua bahan siaran ditapis sebelum disiar TV swasta.

TV3 sejak Khamis lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan, selain menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman Buddha.

Mengikut beberapa blog, iklan ini meminjam konsep 1 Malaysia bagi menggambarkan amalan kesamarataaan agama di Malaysia.

Dalam hal ini, Mahfuz menyalahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kerana terlalu memberi tumpuan kepada pemantauan di internet hingga mengabai bahan siaran TV3.

Mahfuz yakin Rais mungkin tidak memantau bahan siaran dalam TV3 kerana terlalu percayakan media arus perdana ini

Beliau yakin jika iklan sedemikian disiar media alternatif, Rais Yatim dan pimpinan Umno pasti akan melenting dan bertindak pantas serta tegas.

"Jelas membuktikan pemimpin Umno menilai sesuatu perkara dari sudut kepentingan politik mereka,” kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas.

Iklan terbitan Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 yang menggunakan teknik janaan pengimejan komputer, dihentikan selepas lima kali siaran.

Selepas ditegur untuk tempoh tertentu, TV3 akhirnya memohon maaf.


Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009