SHAH ALAM 17 Sept - Hanya Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan dan reformasi tulen di Sabah dan Sarawak yang bukan sahaja menegakkan keadilan sosial kepada semua golongan tetapi juga menjamin dasar kepedulian terhadap rakyat terutama menjamin pembelaan rakyat miskin dan terpinggir.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Senator Dr Syed Husin Ali berkata curahan berbilion ringgit daripada kerajaan Umno-Barisan Nasional kononnya untuk memaju dan membangunkan Sabah dan Sarawak hanya menguntungkan pemimpin dan kroni mereka dan sedikit sekali dikecapi oleh rakyat terbanyak.
Katanya, Umno-BN hanya menggunakan kedua-dua negeri tersebut tidak lebih sebagai kantung undi dan bergantung untuk mengekalkan tampuk kekuasaan mereka.
"Sebenarnya kewujudan Umno-BN hanya bergantung kepada sokongan dari Sabah dan Sarawak dan sekiranya kedua-dua negeri ini berubah menyokong Pakatan Rakyat maka sudah tentu kuasa politik Umno-BN akan tumbang.
"Walaupun kewujudan Umno-BN banyak bergantung kepada Sabah dan Sarawak kita lihat tidak ada pembelaan yang serius dilakukan terhadap golongan miskin dan terbiar di negeri itu. Malah kadar kemiskinan di Sarawak adalah antara yang tertinggi dan Sabah pula dikategorikan sebagai negeri termiskin di Malaysia.
"Rancangan berbilion ringgit yang dicurahkan ke Sabah dan Sarawak hanya menguntungkan kroni Umno-BN dan amat sedikit sekali memberi impak kepada golongan miskin dan terpinggir," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Sikap cakap tak serupa bikin yang diamalkan Umno-BN menyebabkan kedua-dua negeri tersebut masih mundur jika dibanding negeri-negeri di Semenanjung sungguhpun dari segi hasil bumi Sabah dan Sarawak jauh lebih kaya dan makmur.
"Umno-BN hanya harapkan undi sahaja dari Sabah dan Sarawak dan koridor pembangunan yang dilancarkan hanya menguntungkan segelintir kroni yang rapat dengan pimpinan dan kebanyakannya masih tidak berjalan lagi. Rancangan ini juga tidak menaikkkan taraf kehidupan rakyat miskin dan terbiar.
"Golongan Penan umpamanya diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai kaum yang termiskin didunia dan terdedah kepada pelbagai eksploitasi termasuk seks," tegas Dr Syed Husin.
Sementara itu tokoh wartawan veteran, Said Zahari berkata keputusan kerajaan mengiktiraf Hari Malaysia pada 16 September sebagai cuti umum tidak memberi makna kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
"Ini bukannya isu baru. Kenapa sekarang setelah hampir 50 tahun mahu mengiktiraf dan mengumumkan 16 September sebagai cuti umum?
"Umno-BN sudah melihat tanda-tanda Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi berasa selesa dengan dasar mereka, jadi cuti Hari Malaysia ini hanya satu gula-gula untuk memenangi hati rakyat kedua negeri itu.
"Tetapi saya rasa tindakan ini tidak berkesan kerana agak sudah terlambat. Ia tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, kemiskinan tegar masih menghantui kebanyakan rakyat walaupun sudah 47 menerima gagasan Malaysia," kata Said.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment