Arkib Blog

Wednesday, September 1, 2010

DPMMS Tolak Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri


SHAH ALAM 1 Sept - Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bahawa mereka telah dipinggirkan dalam pembangunan ekonomi di negeri itu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menjelaskan sebenarnya DPMMS sendiri telah gagal memainkan peranan selaku pertubuhan perniagaan.

"Kerajaan Pakatan Rakyat meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai asas pentadbiran. Pada masa yang sama, kita sentiasa melibatkan rakyat dari pelbagai peringkat untuk terbabit sama dalam merangka polisi dan dasar kerajaan negeri.

"Sejak mentadbir Selangor, Pakatan Rakyat secara berterusan mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum apa-apa dasar atau polisi digubal.

"Malah buat julung kalinya sebuah kerajaan negeri menganjurkan Sesi Dialog Bajet sebelum pembentangan bajet negeri dilakukan. Sesi dialog ini merupakan salah satu cara bagi mencapai hasrat kerajaan dalam usaha merakyatkan ekonomi negeri.

"Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk terlibat sama memberi pandangan bagaimana meningkatkan pendapatan negeri dan mengurus perbelanjaan berhemah," jelas Faekah dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga menganjurkan Dialog Pelan Tiga Tahun Selangor di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mewujudkan perkhidmatan tempatan yang berkesan dan efisyen.

"Kerajaan Negeri telah menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan perniagaan untuk memberi pandangan dan cadangan sebagai nilai tambah kepada Bajet 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini. DPMMS adalah antara kumpulan perniagaan yang dijemput.

"Malangnya, DPMMS telah menolak jemputan Kerajaan Negeri. DPMMS sesungguhnya berpeluang untuk melontarkan pandangan hatta rungutan namun mereka gagal mengggunakan peluang dan cabaran yang diberikan ini atas alasan yang mereka sahaja mengetahuinya," tegas beliau lagi.

Justeru itu Faekah menyifatkan rungutan DPMMS bahawa kerajaan negeri tidak memberi peluang kepada pertubuhan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Pihak kerajaan katanya sentiasa membantu semua pihak bagi menjalankan perniagaan atau memperkembangkannya tanpa unsur pilih kasih.


SumberL Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009