Arkib Blog

Wednesday, August 25, 2010

Pakatan Rakyat Sarawak Siap Siaga Hadapi Pilihan Raya Negeri


SHAH ALAM 25 Ogos - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan berlangsung esok akan menumpukan kepada agenda persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mesyuarat itu akan menyentuh pelbagai perkara mengenai pembahagian kerusi antara empat rakan kongsi Pakatan Rakyat Sarawak - KEADILAN, DAP, PAS dan SNAP, persiapan logistik pilihan raya, manifesto pilihan raya, mengenalpasti calon berpotensi dan isu utama lain yang akan diketengahkan dalam pilihan raya negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi Suara Keadilan berkata, hampir 90 peratus pembahagian kerusi telah diselesaikan menerusi persetujuan dan persefahaman antara parti komponen Pakatan Rakyat.

"Perbincangan kita esok akan menjurus kepada pilihan raya negeri Sarawak seperti manifesto dan slogan pilihan raya, termasuk pengagihan kerusi. Setakat ini hampir 90 peratus kerusi telah diagihkan di kalangan komponen parti Pakatan Rakyat.

"Manakala dari segi pemilihan calon ia akan ditentukan oleh parti masing-masing. KEADILAN sendiri telah menyenarai pendek calon-calon yang akan diketengahkan dalam pilihan raya ini dan telah dikemukakan kepada Biro Politik dan Pengarah Piliah Raya Pusat," ujarnya.

Menurut beliau, antara isu utama yang akan diketengahkan dalam pilihan raya itu adalah mengenai tanah adat Sarawak, kemudahan infrastruktur di luar bandar seperti kemudahan perubatan, pendidikan, masalah kemiskinan dan isu berkaitan urus tadbir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Kegagalan urus tadbir oleh Ketua Menteri Sarawak akan menjadi antara isu utama dalam pilihan raya ini memandangkan beliau mempunyai harta yang berbilion sedangkan kawasan pendalaman masih serba kekurangan.

"Isu kemudahan kesihatan seperti klinik yang jauh dari kawasan pedalaman, isu seperti masalah kemudahan kuarter guru yang mengecewakan, isu pendidikan dan kemiskinan adalah antara isu utama di Sarawak.

"Kemudahan untuk fasiliti dan jalanraya umpamanya masih teruk dibandingkan dengan Semenanjung kerana kemudahan infrastrukturnya yang masih jauh ketinggalan. Sarawak adalah negeri terkaya tetapi antara yang keempat miskin di Malaysia.

"Saya yakin dengan isu-isu yang di bawa ini Pakatan Rakyat berjaya menawan Sarawak daripada Barisan Nasional. Sekiranya pilihan raya ini dijalankan dengan adil tanpa ugutan dan politik wang, saya yakin kita akan menang," tegas beliau.

Ditanya mengenai persiapan KEADILAN di peringkat akar umbi, beliau berkata gerak kerja telah diperkukuhkan diperingkat cabang dan ranting dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

"Datuk Seri Anwar akan mengadakan lawatan di Limbang dan Lawas pada 31 Ogos ini. Pada bulan depan, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali antara pimpinan yang dijadualkan akan datang ke Sarawak," jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata secara umumnya parti berpuas hati dengan tahap persiapan jentera Keadilan Sarawak dalam menghadapi pilihan raya tersebut yang tempoh matangnya ialah pada Julai 2011.

"Kita berada dalam tahap siap siaga, kalau sekiranya wisel pilihan raya ditiupkan dalam tempoh terdekat ini pun, kita sudahpun bersedia untuk memasuki gelanggang.

"Kita punya keyakinan yang tinggi bahawa mesej perubahan yang kita bawa bersama dengan rakan komponen Pakatan Rakyat yang lain di negeri Sarawak kali ini boleh menangkap imaginasi rakyat yang akan mendorong kepada perubahan berlaku. Itu perkara yang kita bincangkan pada hari ini," katanya dalam sidang media ketika rangka lawatan selama dua hari di Sarawak bersama Pengarah Strategi, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Shaharin 20 Ogos lalu.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009