Arkib Blog

Tuesday, August 10, 2010

Muhyiddin Jadi Batu Api Cuba Lagakan PAS-DAP


SHAH ALAM 10 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dianggap sebagai batu api kerana cuba melaga-lagakan PAS dan DAP berikutan tindakan Umno yang menyerang secara terbuka terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mencadangkan supaya diskaun Bumiputera berkaitan pembelian hartanah mewah dimansuhkan dan disalurkan kepada golongan miskin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pada dasarnya beoiau bersetuju dengan pendapat Tony yang berhujah atas asas diskaun tersebut tidak harus diberikan kerana pembeli rumah mewah sememangnya sudah kaya.

"Pada dasarnya memang tidak ada pertikaian dalam isu ini tetapi malangnya kita ada satu Timbalan Perdana Menteri yang suka nak jadi batu api yang suka melaga-lagakan kenyataan Tony Pua dan juga Datuk Seri Tok Guru Haji Abdul Hadi.

"Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi Awang) pula menimbulkan persoalan hak istimewa orang Melayu dan keperluan hak untuk membantu orang Melayu yang masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan sebagainya," jelas beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini petang semalam.

Beliau turut mencadangkan isu yang sepatutnya dibincangkan ialah pemberian diskaun kepada golongan yang berpendapatan lebih tinggi untuk rumah harga di bawah RM500,000 dan bangunan komersil di bawah nilai RM2 juta.

"Maknanya diskaun itu masih ada tapi tak dapat kepada pembeli sebaliknya digunakan untuk memungkinkan orang yang tak kaya membeli rumah dalam lingkungan harga RM100,000 atau RM200,000, bukannya mendapat diskaun tujuh peratus.

"Jadi sekarang kita boleh guna diskaun tujuh peratus untuk rumah berharga RM500,000, jumlah itu kita kira supaya mungkin rumah yang murah sikit itu boleh diberi diskaun 10 peratus.

"Diskaun yang diperolehi oleh orang kaya itu adalah lima kali ganda diskaun yang diperolehi orang miskin.

"Dari sudut itu ianya tidak adil, apa yang kita cadangkan ambil diskaun itu dan bantu orang miskin. Dengan cara itu kita tidak menolong orang yang kaya dan pada masa sama kita menentukan bahawa diskaun atau subsidi itu digunakan untuk membantu orang yang miskin.

"Dengan cara itu juga tidak menafikan bantuan kepada orang Melayu ataupun kaum bumiputera," jelas Khalid lagi.

Tambah beliau, pendekatan itu boleh digunakan untuk menangani persoalan prinsip antara PAS dan DAP dalam soal tersebut.

"Saya rasa kalau pendekatan dan kaedah ini digunakan maka tidak ada pertikaian di antara PAS dan DAP dalam persoalan ini dan saya rasa pada dasarnya memang tidak ada.

"Sedangkan prinsip yang hendak dikemukakan ialah satu prinsip yang saya rasa patut difikirkan bersama," kata Khalid lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009