Arkib Blog

Monday, August 9, 2010

Golongan Kaya Umnoputra Salahguna Diskaun Untuk Beli Rumah Mewah


SHAH ALAM 9 Ogos - Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata diskaun untuk pembelian rumah mewah Bumiputera adalah salah satu penyalahgunaan jelas Model Ekonomi Baru yang antara lain memastikan bahawa golongan berpendapatan rendah di negara ini menerima manfaat daripada dasar tersebut.

Menurutnya, Umno dan sayap Pemudanya jahil berhubung tafsiran peruntukan Perlembagaan yang sengaja disalahgunakan bagi melindungi golongan kaya atau Umnoputra yang mahu terus menikmati diskaun sedemikian apabila membeli rumah mewah mereka.

"Reaksi Umno juga jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai maruah dan harga diri, untuk mencari perlindungan sedemikian dan menyalahgunakan manfaat untuk orang miskin dan kurang bernasib baik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno yang menyerang secara terbuka terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mencadangkan supaya diskaun Bumiputera berkaitan pembelian hartanah mewah dimansuhkan dan disalurkan kepada golongan miskin.

Menurutnya, orang Melayu seharus merasa bangga kerana terdapat mereka yang kini mampu memiliki hartanah dan kediaman mewah yang menunjukkan orang Melayu kini sudah mampu berdiri atas kaki sendiri.

"Oleh itu saya menyokong penuh cadangan Menteri Besar Selangor menimbangkan untuk menghapuskan diskaun ke atas rumah mewah tetapi menyalurkan diskaun itu kepada tabung perumahan untuk membantu Bumiputera miskin," tegas Tunku Abdul Aziz.

Beliau mengecam Umno yang sejak dua minggu lalu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengkritik Tony berhubung cadangan itu termasuk membuat laporan polis kononnya ahli parlime itu cuba menghasut orang ramai dan mencabuli Perlembagaan negara dan kontrak sosial.

Tunku Abdul Aziz berkata, jelas pemimpin Umno mempunyai pengetahuan yang kosong mengenai undang-undang di mana tidak ada satu artikel dalam Perlembagaan mencadangkan bahawa Melayu atau Bumiputera diberi hak diskaun untuk pemilikan rumah mewah.

"Tidak terdapat dalam Perlembagaan yang mengatakan orang Melayu berhak untuk diskaun pembelian hartanah mewah berjuta-juta ringgit.

"Kedudukan istimewa orang Melayu juga tidak menerangkan definisi untuk pemberian diskaun atau keistimewaan sedemikian bagi mendapatkan kedudukan istimewa atau menyatakan orang Melayu berhak kepada diskaun untuk membeli kereta BMW, Porche, sistem teater rumah, tiket penerbangan kelas pertama atau barang kemas dan batu permata," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009