Arkib Blog

Tuesday, August 10, 2010

Dua Bulan Selepas Kejadian, Peguam Negara Temui 'Bukti Baru'


Pejabat Peguam Negara menafikan dakwaan mereka menyembunyikan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Teoh, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu.

Penemuan bukti baru itu yang dikemukakan pagi semalam menyebabkan prosiding inkues yang sepatutnya didengar semalam ditangguh sehingga 18 Ogos.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu, dikeluarkan lewat petang semalam menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di

tingkat 14 bangunan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti tersebut mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisis oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya ditimbang oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

“Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Tan Sri Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu dipetik Bernama,

Katanya terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes

bunuh diri.

“Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh

koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

“Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.


Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009