Arkib Blog

Wednesday, August 11, 2010

AMK Desak Polis Siasat Aduan Anwar Terhadap Saiful, Farah


SHAH ALAM 11 Ogos - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi mendesak pihak berkenaan menjalankan siasatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan ini dilakukan berikutan tiada siasatan yang dijalankan walaupun sudah lebih seminggu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di Pondok Polis Mahkamah Jalan Duta.

Beliau menambah, usaha tersebut merupakan tekanan berterusan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan membuat siasatan berhubung laporan yang oleh Ketua Umum KEADILAN itu.

Shamsul mendedahkan perkara seperti ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel dan menuntut pihak polis menyegerakan siasatan terhadap Farah dan Saiful di bawah Seksyen 8(1) dan Seksyen 8(2) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berpendapat, kedua individu itu mempunyai akses kepada maklumat sulit yang menjadi rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada umum, berikutan 'hubungan sulit' yang dijalinkan oleh mereka berdua.

Isnin lalu anggota AMK Perlis, Tengku Putra Aelmi Tengku Amiruddin membuat laporan polis terhadap Farah dan Saiful di Balai Polis Kangar meminta siasatan dibuat terhadap mereka di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Sekiranya pihak polis masih tidak melakukan sebarang tindakan terhadap laporan tersebut, kami bercadang untuk membawa kesemua laporan yang dibuat di seluruh negara ini ke pejabat Peguam Negara," kata beliau lagi.

Perbicaraan Fitnah II yang bersambung Isnin lalu menyaksikan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan untuk membenarkan mahkamah menampilkan Farah dan Saiful sebagai saksi berhubung dakwaan terhadap mereka.

Hakim kemudiannya menetapkan 16 Ogos depan bagi memutuskan sama ada untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.

Shamsul juga menyelar tindakan media milik Umno-Barisan Nasional yang menyiarkan laporan bahawa Ketua Umum KEADILAN cuba melengah-lengahkan perjalanan kes tersebut.

"Itu hanyalah propaganda Umno-Barisan Nasional. Dalam perbicaraan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan haknya bagi mendapatkan perbicaraan yang adil. Jika tidak, adalah lebih baik sekiranya mahkamah mengugurkan tuduhan tersebut," kata Shamsul lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009