AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, July 13, 2010

Tindakan Bodoh KDN Tubuh Jawatankuasa Pantau Berita Palsu


SHAH ALAM 13 Julai - Cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa pemantauan berita palsu atas alasan untuk menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan membawa kebaikan kepada negara malah sebaliknya akan mencemarkan nama Malaysia dalam arus kebebasan media antarabangsa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail memberitahu Suara Keadilan tindakan KDN itu menunjukkan kebodohan di dalam pentadbiran negara ini dalam kerangka amalan sistem demokrasi.

"Kita melihat negara luar seperti Afrika mahupun negara komunis walaupun pemerintahan mereka teruk tetapi mereka mengamalkan kebebasan media.

"Apa yang berlaku di negara ini sebaliknya, kita bercakap tentang dasar demokrasi tetapi sikap sebenar pentadbiran negara ini lebih teruk dari apa yang berlaku di negara luar. Tindakan KDN hendak menubuhkan jawatankuasa memantau berita palsu itu adalah sikap yang bodoh serta menjatuhkan imej negara ini, kenapa mereka tidak membuat perbandingan dengan negara luar terhadap amalan kebebasan media.

"Tidak ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang menubuhkan jawatankuasa sedemikian tetapi sikap angkuh pemimpin Umno-Barisan Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara kuku besi yang menyekat rakyat bersuara serta menghalang daripada mendengar apa juga maklumat yang betul.

"Kerajaan sepatutnya memantau media arus perdana milik mereka yang jelas kita tahu melakukan pembohongan mahupun fitnah setiap terbitan akhbar terbabit. Kita melihat apa yang Utusan Malaysia siarkan kenapa tiada tindakan, bila media alternatif mengeluarkan kenyataan yang benar dalam mencari penyelesaian terus diambil tindakan.

"Kerajaan sebenarnya tidak bersikap adil dalam pentadbiran mereka, sikap amalan berat sebelah serta penubuhan jawatankuasa tersebut mencerminkan lagi bahawa negara ini berada dalam era zaman pemerintahan yang kejam serta zalim," tegas Azan.

Azan juga berkata slogan 'Selamatkan Malaysia' yang menjadi laungan Pakatan Rakyat amat bertepatan dan sesuai kerana rakyat perlu menyelamatkan negara ini daripada pemerintahan

Umno-BN yang mengamalkan budaya kejam, zalim dan menindas.

"Slogan yang kita laungkan itu amat bertepatan sekali, kita perlu selamatkan Malaysia daripada golongan yang zalim lagi kejam. Rakyat perlu membuat keputusan dari sekarang bukan hanya menjadi pemantau. Sebelum ini kita ingin menyelamatkan Malaysia daripada teruk merundum dalam ekonomi dunia tetapi sekarang kita perlu selamat negara ini daripada kerajaan yang zalim.

"Saya melihat amalan media arus perdana lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan media alternatif, lemparan fitnah mereka secara terbuka dengan menyelewengkan fakta serta bersikap mengampu tetapi kita kesal kerana kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sentiasa membela mereka.

"Sikap pembohongan media arus perdana itulah \menyebabkan media tersebut tidak lagi menjadi rujukan kepada pembaca dan kenyataan ini diakui oleh barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mereka mengatakan internet dan media alternatif menjadi rujukan utama kepada pembaca di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

"Saya yakin atas dasar inilah tekanan diberikan ke atas media alternatif, kerajaan takut dengan penerimaan rakyat terhadap laporan media alternatif. Selain itu tindakan menggantung permit penerbitan akhbar rasmi parti Pakatan Rakyat merupakan langkah kerajaan cuba memperbodohkan rakyat serta memutar belitkan fakta agar rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan itu," kata beliau lagi.

Tambah beliau jika kerajaan sekarang berada dalam ketakutan mereka perlu mengadakan pilihan raya sekarang.

Ini kerana beliau pasti ada sedikit sokongan yang akan di perolehi oleh umno-BN tetapi jika kerajaan takut dan berdegil untuk tidak melakukan pilihan raya rakyat akan menolak sepenuhnya pentadbiran mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu jawatankuasa pemantau itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berfungsi sebagai adalah urusetia.

Beliau mengganggap penubuhan jawatankuasa itu bertujuan untuk mengelak rakyat terus tertipu dengan berita palsu.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009