AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, July 27, 2010

Peruntukan RM15 Juta Untuk Pertingkat Saluran Maklumat Kepada Rakyat Di Selangor


SHAH ALAM 27 Julai – Bagi melawan propaganda Umno-Barisan Nasional dan laporan media arus perdana yang berat sebelah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor memutuskan untuk memperuntukkan RM15 juta untuk mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian maklumatnya kepada rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan maklumat yang tepat disalurkan kepada rakyat agar mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana.

“Jika kita mengambil kira jumlah penduduk di negeri Selangor iaitu 5.2 juta orang, jumlah ini bersamaan RM3 untuk setiap seorang,” katanya dalam ucapan pembukaan majlis Dialog Bajet 2011 di sini, pagi semalam yang dihadiri kira-kira 300 pegawai kerajaan, wakil syarikat berkaitan kerajaan negeri dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) berserta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Selangor.

Belanjawan 2011 dengan tema 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor pada November depan.

Abdul Khalid berkata, dana tersebut yang merupakan satu peratus daripada jumlah Bajet Selangor 2011 berjumlah RM1.5 bilion akan digunakan untuk menyebarkan maklumat melalui portal web TVSelangor, akhbar Selangor Kini,versi cetak dan juga laman sesawang.

"Kita juga akan menerokai potensi bagi mewujudkan Radio Selangor Kini bagi melebarkan penyebaran maklumat," tambah beliau.

Menurut Abdul Khalid, peruntukan berkenaan juga bertujuan untuk berdepan situasi liputan berita oleh media arus perdana berkaitan dasar dan program kerajaan negeri yang didapati seringkali tidak seimbang dan bias.

"Liputan yang diberikan selalunya tidak seimbang. Apa yang kedengaran selalunya adalah usaha memburukkan kerajaan negeri dan ini dapat difahami sebagai bermotifkan politik kepartian untuk cuba memberi gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mampu mentadbir.

"Bukan sahaja kedudukan perkara yang diberitakan itu tidak memberikan gambaran menyeluruh, jawapan kerajaan negeri juga tidak mendapat liputan wajar.

"Memang agak merunsingkan apabila sebilangan rakyat tidak mengetahui banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan ada juga yang mengatakan bahawa sebilangan bantuan itu misalnya dasar air percuma 20 meter padu diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Lebih dahsyat lagi, semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ada penduduk yang tidak tahu bahawa kerajaan negeri telah berubah pentadbirannya, dan ada yang mengatakan Tan Sri Muhammad Taib masih lagi Menteri Besar," kata beliau.

Justeru, Abdul Khalid berkata beliau telah pun berunding berhubung perkara tersebut dengan perbendaharaan negeri yang bersetuju menyalurkan peruntukan itu berdasarkan kepentingannya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri Selangor harus menginsafi kelemahan berkaitan dan berazam sedaya upaya tidak menjadikan amanah rakyat sebagai satu keistimewaan khas.

"Maka apa yang perlu kita lakukan di dalam dialog ini ialah menentukan apakah jenis kebajikan rakyat yang perlu diberi keutamaan dan bagaimanakah pertumbuhan dapat dijana untuk menampung permintaan yang tidak terhad ini," katanya.

Abdul Khalid sehubungan itu menjelaskan setakat ini, peruntukan operasi kerajaan negeri adalah sekitar RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun dengan belanja mengurus kira-kira separuh daripada jumlah belanja pembangunan.

"Jumlah yang terhad ini perlulah diuruskan dengan penuh berhemah, tujuan yang jelas serta mendapat pulangan yang optimum," jelas beliau.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009