AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, July 27, 2010

Auku Jadikan Minda Mahasiswa Jumud, Kekang Daya Kreativiti Pelajar


KUALA LUMPUR 27 Julai - Ahli Dewan Negara, Senator Dr Syed Husin Ali mendesak kerajaan Malaysia mengkaji semula fungsi dan kewajaran meneruskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang didakwa sebagai penyekat kebebasan dan daya kreativiti mahasiswa.

Dr Syed Husin berkata akibat daripada pelaksanaan undang-undang tersebut sejak 1971, ia gagal untuk membentuk jatidiri dan melatih mahasiswa sebagai golongan pemimpin negara pada masa hadapan.

"Keadaan ini berlaku di semua universiti di seluruh negara. Contohnya sekarang ada diadakan semula 'Speaker Corner' (Sudut Pidato) di mana mahasiswa boleh belajar untuk berucap dan berbincang tentang isu-isu penting dalam negara. Tetapi tidak mendapat sambutan kerana ia diwujudkan bukan berdasarkan kepada kebebasan mahasiswa," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen semalam selepas sesi soal jawab lisan dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti Malaya berkata selepas Auku diperkenalkan, banyak persatuan mahasiswa telah diharamkan termasuk persatuan bahasa dan budaya.

"Kawalan oleh Naib Canselor dan bahagian hal ehwal pelajar (HEP) membataskan aktiviti dan program mahasiswa sehingga kegiatan budaya seperti pesta tanglung pun tidak dibenarkan. Seolah-olah aktiviti ini memberikan implikasi keselamatan," tambah beliau.

Dr Syed Husin memberitahu sebelum wujudnya Auku, mahasiswa merupakan kelompok paling hadapan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.

Selain daripada mempunyai inisiatif untuk merancang aktiviti bersama masyarakat termasuk program masuk ke kampung dan desa, mahasiswa juga turut mempunyai aset seperti rumah persatuan dan menguruskan kewangan mereka secara bebas.

Di era pra-Auku, mahasiswa juga dibenarkan melantik barisan kepimpinan mereka melalui pilihan raya kampus yang bebas.

Semua ini kata Dr Syed Husin telah berubah dan kini aktiviti serta program mahasiswa diselenggarakan oleh pengurusan universiti di bawah cengkaman kuasa Naib Canselor yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Tindakan ini kata beliau lagi gagal untuk memperkasakan mahasiswa.

"Kawalan ini adalah legasi daripada sistem yang lapuk. Sekatan ini wujud semenjak 40 tahun dulu. Jadi, pihak kerajaan kena fikir untuk melonggarkan undang-undang tersebut supaya suasana di dalam kampus akan lebih demokratik. Mereka perlu diberikan peluang. Tidaklah nanti, mahasiswa dikatakan hanya menurut sahaja apa yang diarahkan," jelas beliau.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009