PUTRAJAYA 10 Julai - Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil serius kritikan dan komen daripada rakyat yang inginkan proses yang adil dan bebas dan tidak berpartisan.
Semalam, Bersih 2.0 menyerahkan memorandum kepada SPR meminta badan itu mempertimbangkan cadangan dan saranan rakyat berkenaan proses yang adil dan telus pada pilihan raya umum akan datang.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said yang berjanji akan memastikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerima memorandum itu.
"Kesemua perkara, cadangan dan saranan yang dimasukkan di dalam memorandum tersebut disokong oleh undang-undang berkait dan juga amalan terbaik antarabangsa, maka SPR tiada sebab untuk tidak menggunakan dan mengaplikasikan kandungan memorandum ini," kata Ambiga pada sidang media selepas penyerahan memorandum.
Menurut Ambiga, Bersih 2.0 kini merupakan satu badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik dan sehingga kini mempunyai hampir 60 badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawahnya.
"Sokongan NGO ini jelas menunjukkan matlamat Bersih 2.0 sebagai badan yang bersih daripada politik berpartisan, dan sokongan NGO juga semakin bertambah setiap hari," tambah beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia.
Kata beliau lagi, terdapat kira-kira empat juta pengundi yang belum berdaftar dan kelompok ini perlu diberi pendedahan dan didaftarkan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Tambahnya ini merupakan satu tanggungjawab yang patut disokong oleh SPR, bukannya memberi kekangan dalam pendaftaran pengundi baru.
"Kita menerima aduan daripada beberapa pihak bahawa SPR hanya mengeluarkan sejumlah borang sahaja dalam sebulan dan jumlah ini tidak mencukupi untuk mendaftarkan pengundi. Saya rasa SPR perlu memberi sokongan kepada mereka yang membantu memberi kesedaran dan mendaftarkan pengundi, yang mana merupakan tugas SPR," tegas Ambiga lagi.
Tegas beliau, antara perkara yang disentuh dalam memorandun itu termasuk cadangan pendaftaran pengundi secara otomatik, pemilihan Ahli Dewan Undangan dan juga pemilihan Ahli Dewan Negara.
"Kita juga meminta SPR untuk mengambil tindakan terhadap laporan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat pada dua pilihan raya kecil lalu dan juga laporan pilihan raya lama yang sehingga kini dibiarkan tanpa tindakan.
"Apa gunanya mempunyai undang-undang pilihan raya yang begitu luas skopnya tanpa apa-apa tindakan untuk menguatkuasakannya?" ujar beliau.
Ditanya Bersih 2.0 akan mengadakan demonstrasi jalanan, Ambiga berkata Bersih sentiasa mengalu-alukan pandangan, kritikan dan saranan rakyat.
"Jika rakyat merasakan wujudnya permasalahan, kita minta datang berjumpa dan kita boleh membincangkan penyelesaian terbaik, tidak semestinya kita perlu membuat demonstrasi jalanan," kata beliau.
SumberL Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment