AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, July 27, 2010

ADUN Sri Muda nafi lindungi Kumpulan Semesta kerana bonus


SHAH ALAM, 27 Jul — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menafikan beliau menerima menerima bonus daripada syarikat perlombongan pasir Selangor Kumpulan Semesta Sdn Bhd sejak ia beroperasi pada 2008.

Kelmarin, Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr Khir Toyo mendakwa Shuhaimi melindungi Kumpulan Semesta dalam perang mulut membabitkan kedua-dua mereka hanya untuk mendapatkan bonus enam bulan.

Sehari sebelum dakwaan itu, wakil rakyat PKR tersebut mendesak Dr Khir agar ‘tutup mulut’ dan berhenti daripada menyerang kerajaan negeri berhubung isu perlombongan pasir secara haram.

“Saya mempertahankan Kumpulan Semesta sejak ia dimulakan sehingga kini tanpa menerima bonus satu sen pun,” kata Shuhaimi kepada The Malaysian Insider.

“Bonus enam bulan?… saya tidak pernah mengambil bonus satu bulan pun, sebab kami hendak mengembalikan khazanah negeri kepada rakyat,” kata beliau yang juga ahli lembaga Kumpulan Semesta.

Beliau berkata, Dr Khir ketika kepimpinannya sebagai bekas Menteri Besar Selangor tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan tanah-tanah sejak lombong di kawasan-kawasan milik negeri ditutup.

“Khir adalah Menteri Besar selama lapan tahun. Apa yang beliau lakukan untuk memulihkan kawasan tanah yang rosak dan kawasan perlombongan yang ditinggalkan oleh kroninya, yang kini kelihatan sebagai kawasan perang?” kata Shuhaimi.

Shuhaimi juga memperlekehkan bahawa politik Khir sudah tidak lagi relevan dengan menegaskan kerjaya politik doktor gigi itu sudah pun berakhir.

“Modal politik Khir sudah berakhir. Masanya sudah berlalu,” kata Shuhaimi dengan merujuk kepada tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar yang turut melancarkan serangan sendiri dalam isu perlombongan pasir.

Tindakan Noh itu dilihat cuba mengetepikan saingan pengaruh dengan Khir.

“Nasihat saya kepada Khir, bersedialah untuk disejukbekukan,” kata Shuhaimi lagi.

Pada Sabtu lalu, Shuhaimi meminta Dr Khir supaya ‘tutup mulut’ dan berhenti daripada menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat kononnya gagal menangani isu perlombongan pasir haram.

Katanya, Dr Khir selaku Menteri Besar sebelum Mac 2008 telah gagal dalam tugas dan tanggungjawabnya mengatasi masalah tersebut tetapi kini mempertikaikan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dr Khir baru-baru ini mendakwa lombong pasir di Kuala Langat haram dan menjejaskan kawasan Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun pakar alam sekitar dilantik anak syarikat kerajaan Kumpulan Semesta Sdn Bhd mempertikaikan dakwaan Ketua Pembangkang itu.

Firma perunding yang dilantik Kumpulan Semesta untuk pelan pengurusan alam sekitar bagi lombong pasir di Olak Lempit, Banting berkata tidak ada bukti menunjukkan kegiatan di kawasan seluas 48 hektar itu menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Pengarah Enviro Enhance Sdn Bhd P.K Geetha memberitahu firma itu tidak menemui sebarang impak ke atas kualiti air di Paya Indah Wetlands kerana lombong tersebut terletak di hilir kawasan paya berkenaan.

Beliau berkata proses membersih pasir juga dilakukan menggunakan air dari kolam di dalam kawasan lombong milik Kumpulan Semesta. – MALAYSIAN INSIDER

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009