AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, June 18, 2010

Umno-BN Tidak Serius Galak Inovasi, RMK-10 Hanya Mainan Politik


KUALA LUMPUR 18 Jun - Kejayaan Rancangan Malaysia Ke-10 bergantung kepada kemampuan kerajaan Umno-Barisan Nasional menggerakkan reformasi secara menyeluruh terhadap sistem pentadbiran dan kewangan negara bagi menyediakan tapak persekitaran perniagaan yang cekap, fleksibel dan rancak.

Cadangan menggunakan inovasi selaku ramuan utama menambah produktiviti dan eksploitasi idea baru yang terkandung dalam RMK-10 yang dibentang Perdana Menteri minggu lalu tidak akan mencapai sasarannya sekiranya perkara ini diabaikan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menjelaskan semasa sesi perbahasan RMK-10 semalam, bahawa dalam usaha mencari dasar yang dirancangkan itu beberapa penyediaan persekitraran kompetitif termasuk juga isyarat harga yang tepat diperlukan.

"Hakikatnya hanya kemampuan memacu pertumbuhan berdasarkan inovasi sahaja yang dapat merawat permasalahan serius yang melanda ekonomi negara. RMK-10 mengganggarkan pendapatan negara meningkat daripada RM158 bilion kepada RM216 bilion menjelang tahun 2015 atau pertumbuhan 6.1 peratus sedangkan perbelanjaan dianggarkan meningkat 6.8 peratus.

"Kos pinjaman kadar pembiayaian hutang meningkat dari 8.6 peratus dalam RMK-9 kepada 9.4 peratus dalam RMK-10. Kerajaan perlu membuat pinjaman yang besar samada domestik atau luar negara untuk membiayai RMK-10 ini dan ini terbukti dengan peningkatan “debt servicing” sebanyak 9.4 peratus sepanjang RMK-10.

"Mengambil kira jumlah defisit terkumpul ini dianggarkan jumlah hutang meningkat daripada RM362.4 bilion diakhir 2009 kepada RM593.9 bilion menjelang 2015 iaitu peningkatan 64 peratus. Ini membimbangkan kedudukan kewangan negara," jelas Nurul Izzah dalam Dewan Rakyat.

Tambah beliau lagi, hanya kerangka inovatif serta kreatif yang memungkinkan negara mencari penyelesaian yang hampir ajaib ini sementara ramuan inovasi ini hanya berjaya jikalau pertambahan dilakukan dalam rancangan tersebut.

Beliau juga turut memetik isi kandungan RMK-10 yang menyebut kejayaan agenda inovasi bergantung kepada rakyat Malaysia yang menyanjung nilai keterbukaan berfikiran kritikal.

Ini memerlukan sistem pendidikan yang memupuk modal insan yang kreatif dan analitikal namun pada realitinya kenyataan tersebut amat berbeza sekali.

"Antara usaha menarik mutakhir ini yang berjaya menggamit imaginasi generasi baru ialah tentang senarai projek kerajaan Barisan Nasional yang gagal seperti yang disebut oleh penulisan Barry Wain, dengan judul Malaysian Maverick yang tidak asing lagi bagi kita semua. Malangnya, usaha gigih 'Social Behaviour and Science Research Cluster (SBSRC)' di bawah Universiti Malaya untuk mengadakan forum bagi membincangkan intipati buku tersebut, selari dengan usaha menjana kreativiti dan inovasi di kalangan orang muda telah menerima kritikan keras daripada tidak lain tidak bukan Menteri Pengajian Tinggi sendiri.

"Jelas bahawa kerajaan tidak bersedia merealisasikan iltizam politik untuk mentransformasikan sistem usang sedia ada di bawah kerangka BN yang mengekang kebebasan dan menidakkan ketelusan. Memetik Dr Mohamad Aslam Haneef, setiasuaha Gerak, pergerakan para akademik yang sedang berusaha ke arah mereformasikan sistem pendidikan tetapi selagi ada Akta Universiti Kolej Universiti yang mewujudkan budaya 'trigger happy' untuk menghukum pelajar yang berminat mengetahui perkembangan pilihan raya kecil dengan dengan lebih dekat, selagi itulah budaya inovasi mustahil diwujudkan," katanya.

Nurul Izzah juga merujuk kepada penyediaan pemboleh inovasi dalam RMK-10 di mana inovasi dipengaruhi oleh struktur institusi tetapi sekali lagi institusi utama demokrasi negara memperlihatkan hakikat sebaliknya.

"Kita dipersembahkan dengan Majlis Inovasi Negara (NIC), yang akan dipengerusi Perdana Menteri dan menyelia semua kementerian termasuk universiti dan agensi lain. Tapi kalau pemikiran akademik dan pelajar pun mahu dikongkong apa gunanya majlis ini? Siapa yang berani bersuara, diberi ruang untuk berfikiran kritis mahupun kreatif dan inovatif.

"Kalau serius, reformasikan sistem negara, kemajuan ekonomi seharusnya ada kemajuan politik. Kontradiksi yang besar sekali ialah kerana tidak ada kesungguhan ikhlas. Kita melihat petanda awal tentang kerapuhan pengurusan ekonomi iaitu kerugian yang dialami Sime Darby di mana milikan Bumiputra menerusi Amanah Saham Nasional (ASN) begitu tinggi kerugiannya dan juga Felda daripada kedudukan 'cash reserves' RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009.

"Di kala keadaan ekonomi meleset, RM662 juta digunakan untuk membeli Menara Felda 50 tingkat di Golden Triangle Kuala Lumpur, apa rasionalnya. Ini membuktikan isu pengurusan yang lemah, apa guna bangunan baru kepada masyarakt Felda yang tidak mungkin dapat menikmatinya.

"Apakah petanda ini? Jadi adakah kita serius hendak mewujudkan masyarakat yang berinovasi, maka prasyarat tentunya pengurusan yang cekap dan urus tadbir yang terbaik sebelum mencerna inovasi," bahas Nurul Izzah lagi.

Beliau yakin semua yang dinyatakan secara muluk oleh Perdana Menteri hanyalah permainan politik dan segala kesungguhan itu perlu didasari langkah konkrit.

"Rancangan kita terdahulu gagal dicapai kerana semua 'post mortem' menjurus kepada satu kesimpulan iaitu ekonomi kita hanya akan maju jika ada kemajuan politik, inovasi hanya akan berjaya kalau ada kemajuan politik. Jangan sehingga umum kesimpulan hanya ada dua M di bawah kerajaan iaitu Muktamad dan

Mustahil. Segalanya tak pernah muktamad, dan mereleasasikan Model Ekonomi Baru juga mustahil," katanya lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009