AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, June 3, 2010

Surat Terbuka Pemuda Pakatan Rakyat Kepada Najib Berhubung Serangan Pengganas Zionis


SURAT TERBUKA: CUKUP DENGAN KENYATAAN, ANAK MUDA BERTINDAK MEMBANTAH TINDAKAN PENGGANAS ZIONIS !

Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB Dato Sri,

CUKUP DENGAN KENYATAAN, ANAK MUDA BERTINDAK MEMBANTAH TINDAKAN PENGGANAS ZIONIS !

Dengan hormatnya kami merujuk perkara di atas untuk perhatian serius daripada YAB Dato Seri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) sangat dukacita dengan kelesuan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri dalam memberi respon yang seiring dengan gelodak emosi dan sensitiviti rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya ke atas apa yang berlaku di Gaza.

Serangan kejam dan penahanan biadap oleh askar komando Israel ke atas para aktivis kapal Turki Mavi Marmara yang mengetuai konvoi Freedom Flotilla yang dijadualkan tiba di Genting Gaza adalah suatu tindakan terdesak rejim tersebut bagi menyekat kemaraan dan bantuan dari negara luar, membuktikan sekali lagi keikhlasan Israel dalam perjanjian damai Palestin-Israel layak dipersoalkan.

YAB Dato’ Sri,

Keganasan bertentangan dengan hak kemanusiaan dan perundangan perairan antarabangsa ini tidak boleh dimaafkan, dan AMK mendesak kerajaan Malaysia agar segera menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB untuk mengadakan suatu sidang khas bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Jenayah Perang Antarabangsa bagi menghentikan kekejaman puak Zionis ini daripada terus liar menindas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Dilaporkan 19 aktivis maut dan 66 yang cedera manakala 11 sukarelawan NGO termasuk 6 rakyat Malaysia adalah antara anak kapal yang ditahan. Kerajaan Malaysia sehingga kini tiada memaklumkan penyiasatan butiran lanjut tentang keadaan dan nasib mereka secara rasmi dengan pihak Israel. Situasi ini amat menyedihkan banyak pihak yang terkilan dengan kerajaan yang sekan tidak hirau dengan nasib rakyat Malaysia sendiri.

YAB Dato’ Sri,

Selaku Perdana Menteri kepada sebuah negara Islam, YAB Dato’ Sri perlulah menghormati kehendak dan sensitiviti rakyat dalam isu ini yang jelas melibatkan maruah Islam. Tindakan tentera Zionis ini nyata membuktikan bahawa rejim palsu ini sudah tidak lagi menghormati undang-undang perang Kesatuan Geneva dan PBB sebagai institusi tertinggi antarabangsa.

AMK mendesak agar kerajaan segera membatalkan segala urusan perdagangan ekonomi, diplomatik serta segala bantuan yang berkaitan dengan negara rejim Israel. Bersandarkan rekod perdagangan dan ekonomi negara, Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis ini. Buktinya, kerajaan Malaysia mempunyai pemegangan saham sebanyak 31% di Pantai Holding Berhad iaitu sebuah anak syarikat kepada Parkways Holdings Limited, yang dimiliki pelobi besar Zionis Richard C.Blum.

Malaysia masih menanggung risiko berikutan golongan Zionis mempunyai akses kepada maklumat keselamatan milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) walaupun Kerajaan Umno-BN mendakwa sudah menghentikan khidmat syarikat berpangkalan di Israel itu.

Sehingga kini, penjelasan mengenai mengapa Asiasoft syarikat yang berpengkalan di Tel Aviv, Israel dibenar mengendalikan sistem komputer PDRM begitu lama walaupun ada laporan polis terhadap isu itu, dibuat sebelum itu, masih belum terjawab.

Ini ditambah dengan pendedahan yang begitu spesifik oleh Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung dengan keberkaitan APCO Worldwide dengan regim Zionis yang antara lain memperincikan peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggunjawab memperkenalkan Apco kepada YAB Dato’ Seri sendiri.

Dalam pendedahan yang sama juga. YB Dato’ Seri Anwar turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia dan yang berikutnya ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Sebagaimana diketahui umum, masih belum ada penafian mengenai hal ini, melainkan sekadar penafian verbal semata-mata.

YAB Dato’ Sri,

Meneruskan segala urusan dengan rejim ini nyata membuktikan bahawa kerajaan Malaysia juga turut bersubahat dengan tindakan pencabulan hak kemanusiaan oleh Israel selama ini. Jika hubungan berkepentingan ini diteruskan, maka rakyat meletak persepsi bahawa kerajaan Malaysia sememangnya gagal dan takut membela kesucian penganut Islam dan warganegaranya yang ditindas sama dalam tragedi serangan ini. Tuntutan ini adalah amat penting dalam konteks situasi serangan yang melibatkan kematian dan kecederaan pelbagai warganegara Islam yang lain dan imej Malaysia sebagai Negara Islam dan menolak terorisme yang biadap.

Kesimpulannya AMK mendesak YAB Dato’ Sri perlu bertindak pantas dalam tempoh 24 jam (Khamis 3 Jun 2010) memanggil satu sidang khas di Dewan Parlimen, dan selanjutnya ke peringkat lebih tinggi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu khususnya Presiden Amerika Syarikat Barack Obama agar melakukan desakan inkuiri bebas dan hukuman yang perlu dijatuhkan dengan kadar segera. Sekiranya gagal, YAB Dato’ Sri harus meletak jawatan kerana gagal berfungsi sebagai eksekutif pentadbiran berkesan, tidak prihatin dan sanggup berkompromi dengan penjenayah Zionis Yahudi antarabangsa yang dikutuk seluruh dunia.

Demi Islam, demi Malaysia, demi Ummah, rakyat tuntut ketegasan YAB Dato’ Sri.

Yang benar,

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Nasruddin Hassan Tantawi

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


YB Loke Siew Fook

Ketua DAPSY


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009