KUALA LUMPUR 3 Jun - Prosiding perbicaraan Kes Fitnah 2 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung hari ini dengan lawatan buat kali kedua Anwar dan barisan peguamnya ke unit kondominium Desa Damansara di mana pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa dia diliwat.
Pakar forensik dari Australia, Dr David Wells yang tiba di Kuala Lumpur pagi tadi turut hadir dalam perbicaraan itu.
Pada perbicaraan pagi tadi Saiful menafikan Anwar tidak berada di unit kondominium yang dakwa beliau dalam pertuduhan kes.
Ketua pasukan peguambela, Karpal berhujah bahawa dakwaan liwat pada 26 Jun oleh pengadu sebenar tidak berlaku atas alasan ketika insiden yang didakwa berlaku, Anwar berada di Unit 11-5-2 dan bukannya di Unit 11-5-1.
Peguambela itu berkata Saiful berbohong mengenai keberadaan Anwa dan memberitahu mahkamah pihak pembelaan telah mengemukakan notis alibi yang membuktikan Anwar tidak berada di unit tersebut sebagaimana yang didakwa Saiful.
Prosiding diterusnya dengan Karpal menyoal balas pengadu sekali lagi berhubung perkahwinan adiknya, Saidati Adha Mohd Azlan dengan Faez Khairi.
Karpal : Tidakkah kamu tahu adik kamu berkahwin dengan Faez?
Saiful : Saya tidak dapat sahkan tetapi saya tahu dia lari
Karpal : Ada jumpa Faez selepas kahwin?
Saiful : Ada, dua kali
Karpal : Ada dia lapor diugut berkenaan perkahwinan tersebut?
Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden kemudiannya membantah soalan tersebut.
Menjawab bantahan Yusof, Karpal menjelaskan soalan tersebut untuk membuktikan kredibiliti saksi.
Dalam perbicaraan Fitnah 2 Isnin lepas, Saiful ditanya mengenai keluarganya dan berkata ibubapanya telah bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun dan beliau tinggal dengan bapanya dan adiknya, Saidati.
Menjawab soalan Karpal mengenai sama ada adiknya telah berkahwin, Saiful berkata pada tahun lalu adiknya telah dibawa lari ke Thailand dan beliau tidak pasti sama ada adiknya telah berkahwin atau tidak.
Prosiding kemudiannya ditangguh seketika apabila pihak pembelaan meminta ianya dilakukan secara tertutup (in camera).
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah membenarkan permohonanan itu dan meminta orang ramai meninggalkan galeri.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment