AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, June 23, 2010

Pakatan Rakyat Tetap Mahu ISA Di Mansuhkan Bukan Dipinda


KUALA LUMPUR 23 Jun - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) perlu dimansuhkan dan bukannya dipinda kerana akta tersebut dilihat telah mengamalkan konsep kezaliman terhadap mangsa yang ditahan.

Johari berkata ISA sudah menjadi akta pilihan dan jalan mudah bagi mengantikan amalan profesionalisme polis seperti risikan dan penyiasatan yang teliti.

Katanya lagi, setiap penahanan di bawah ISA membuktikan kegagalan polis menjalankan tanggungjawabnya memperolehi maklumat untuk diserahkan kepada pendakwaraya bagi tindakan di bawah undang-undang selanjutnya.

Proses keadilan yang terhenti setakat polis dan Kementerian Dalam Negeri adalah satu tindakan zalim dan bentuk penganiayaan yang berterusan.

"Kerajaan sekarang sedang merancang untuk meminda kembali ISA, tetapi sehingga sekarang kita belum lagi menerima data yang ingin dipinda untuk ditelitikan sebelum ia dilakukan.

"Sepatutnya kerajaan bukan mengambil tindakan meminda tetapi memansuhkan terus akta tersebut.

Ketika ISA digubal pada tahun 1960 atas alasan untuk menghadapi gerakan komunis ia disertakan mekanisme mengelak salah guna termasuk "judicial review", dan dengan janji ia digunakan untuk tujuan menghadapi ancaman bersenjata komunis sahaja.

"Tetapi sekarang komunis telah meletak senjata, kenapa ISA masih ada, malah ia telah diperkasakan dengan memansuhkan "judicial review" menjadikannya lebih zalim," tegas beliau pada sidang media di lobi media semalam.

Pada sidang media yang sama, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu satu taklimat telah diadakan antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi semalam di Parlimen dan keputusan telah diambil bagi mendesak kerajaan memansuhkan terus ISA.

"Memandangkan penahanan yang dilakukan di bawah ISA dilihat berlaku kezaliman maka satu persetujuan diambil untuk mendesak agar ISA dimansuhkan. Kritikan yang meluas dalam dan luar negara selain penggunaan dan penyalahangunaan ISA telah memburukkan reputasi Malaysia di seluruh dunia.

"Kajian ke arah meminda ISA mengambil kira lima isu pokok dan rang undang-undang pindaannya dijangka akan dibahas di Dewan Rakyat pada bulan Julai nanti.

"Lima perkara asas itu ialah penahanan tanpa bicara, kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan, isu persepsi awam ISA digunakan untuk kepentingan politik dan hak serta layanan terhadap orang tahanan.

"GMI percaya bahawa sebarang pindaan terhadap kelima-lima perkara di atas tidak akan membawa sebarang makna kerana kelima-lima aspek ini adalah antara yang membenarkan parti pemerintah Barisan Nasional terus memerintah. Isu persepsi awam terhadap ISA hanya boleh ditangani dengan pemansuhan ISA, tindakan siasatan profesional polis, kewujudan semakan mahkamah dan pendekatan serta sikap yang lebih prihatin keadilan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara," jelas Syed Ibrahim.

Beliau juga menyeru semua pihak yang terbabit menyatakan pendirian secara jelas bahawa ISA dan segala undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara harus dimansuhkan dengan segera.

"Kami berharap agar pendirian dan pandangan Pakatan Rakyat akan sentiasa kekal dengan misi untuk menghapuskan ISA. Kami tidak sekali-kali akan tunduk kepada isu prinsip yang melibatkan penahanan tanpa bicara.

"Akta-akta yang telah mendera, menindas dan menyeksa rakyat tidak harus dikekalkan dan dipuja malah harus dibuang serta merta," kata beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009