Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini menuntut supaya kerajaan memansuhkan lesen judi sukan. Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat berkata GMJ yang dianggotai oleh 27 NGO itu juga menuntut supaya kerajaan memperketatkan undang-undang berhubung kegiatan perjudian seperti itu. NGO berkenaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Teras Perpaduan Melayu (TERAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM). Katanya, pertubuhan itu berharap akan dapat mengadakan pertemuan dengan perdana menteri sendiri bagi menyerahkan memorandum berkenaan. "Kita harap dapat peluang untuk tanya beliau sendiri, apakah status lesen judi ini sebab syarikat (Berjaya) kata sudah dapat kebenaran untuk jalankan pertaruhan, tetapi kerajaan kata belum beri kebenaran lagi," katanya. Suhaizan yang juga ketua penerangan dewan pemuda PAS berkata selain 27 NGO berkenaan, memorandum itu juga disokong oleh PAS, PKR dan DAP serta negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Sehubungan itu, Suhaizan juga berkata GMJ akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan permit polis esok untuk berkumpul di tiga lokasi di ibu negara pada 3 Julai nanti "Permit itu adalah untuk berkumpul dan berarak," kata beliau yang akan mengemukakan permohonan itu di Balai Polis Dang Wangi.
Sumber: Malaysiakini
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment