Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan keterangan polis penuduh kes konspirasi dua, Saiful Bukhari Azlan.
Panel tiga hakim Datuk Sulong Metjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak permohonan Anwar dengan alasan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan beliau.
Hakim Datuk Sulong ketika menolak permohonan Anwar bagaimanapun enggan menjelaskan asas kepada keputusan tersebut.
Keterangan polis Saiful Bukhari Azlan ini penting kerana ia dikatakan boleh membantu pasukan peguambela membebaskan Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat.
Anwar didakwa dibawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas tuduhan seks luar tabii secara sukarela namun keterangan Saiful menuduh Anwar telah memperkosa dirinya, kesalahan yang sepatutnya didakwa di bawah 377C kanun yang sama.
Peguam Karpal Singh berkata testimoni penuduh di mahkamah boleh dipatahkan sekiranya pasukan peguambela berjaya mendapatkan keterangan berkenaan.
"Mahkamah harus berbuat sesuatu. Kita tidak boleh mendakwa mana-mana orang dengan tuduhan melakukan kesalahan secara sukarela, sedangkan penuduh nampaknya mendakwa dirinya diperkosa," kata Karpal.
"Apa sahaja pendakwaan harus dibuat berdasarkan kepada keterangan penuduh. Keterangan penuduh sepatutnya mendakwa hubungan sukarela. Jika bukti penuduh berjaya digugurkan, mahkamah tidak boleh meneruskan perbicaraan ini,"
Peguamcara 2 Datuk Yusof Zainal Abiden bagaimanapun mendakwa pihak pendakwaraya dengan sengaja mendakwa Anwar dibawah pendakwaan 377B yang membawa hukuman yang lebih ringan berbanding 377C.
Perbicaraan konspirasi dua ditetapkan pada 14 Julai depan.
Sumber: TVSelangor
0 comments:
Post a Comment