AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, April 7, 2010

Shahrizat Hina Warga Emas Pulau Pinang


PULAU PINANG 7 Apr - Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung pemberian RM100 setahun oleh kerajaan negeri kepada warga emas Pulau Pinang sebagai menghina golongan tersebut.

Dalam kenyataan beliau semalam, Shahrizat berkata jumlah yang diberi kerajaan Pulau Pinaang adalah memalukan kerana bagi kerajaan negeri telah meletakkan nilai warga emas kurang daripada RM10 sebulan.

AMK Pulau Pinang memandang kenyataan Shahrizat sebagai satu penghinaan kepada warga emas Pulau Pinang kerana menteri telah meletakkan nilai warga emas Pulau Pinang kurang dari RM10 sebulan.

"Kenyataan Shahrizat juga yang mahu mengucapkan takziah kepada warga emas Pulau Pinang juga merupakan satu kenyataan yang boleh dianggap biadap kerana mengucapkan takziah kepada warga emas yang masih hidup.

"Shahrizat sepatutnya malu dengan dirinya sendiri kerana sebagai seorang menteri beliau telah mengulas isu ini hanya mengikut logik akal beliau sahaja tanpa mengetahui tujuan sebenar pengagihan RM100 ini," kata Amir Ghazali Ketua AMK Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini.

Amir berkata sejak awal Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menerangkan bahawa pemberian RM100 itu bolehlah dianggap sebagai hadiah ulangtahun kelahiran warga emas terbabit.

Pemberian RM100 itu telah diberikan kepada seluruh warga Pulau Pinang yang berumur melebihi 60 tahun sejak Mac 2009 tanpa mengambil kira fahaman politik mereka.

"Tujuan pengagihan itu telah diterangkan kepada warga emas, ianya bukan untuk membasmi kemiskinan tetapi sekadar menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat menghargai warga emas Pulau Pinang.

"Agak menghairankan warga emas Pulau Pinang boleh memahami tujuan pemberian RM100 itu dan sedar RM100 itu tidak mungkin membawa keluar golongan miskin dari belenggu kemiskinan tetapi seorang menteri gagal memahaminya.

"Sebelum Shahrizat mendakwa beliau merasa malu dengan pemberian RM100 setahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Shahrizat sepatutnya mengimbau kembali semasa Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang selama 50 tahun, adakah mereka pernah menghargai kehadiran atau kewujudan warga emas yang banyak menyumbang untuk kerajaan negeri Pulau Pinang?" kata beliau lagi.

Amir berkata kecuali sumbangan RM50 dan kain batik atau pelikat yang diberikan 5 tahun sekali menjelang pilihan raya, warga emas Pulau Pinang tidak pernah dihargai langsung oleh BN dan realiti yang sepatutnya memalukan Shahrizat.

Tambah Ketua AMK itu Shahrizat sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat kerana mengambil inisiatif memberi penghargaan kepada golongan warga emas.

"Saya bagi pihak Angkatan Muda Keadilan Negeri Pulau Pinang mendesak Datuk Seri Shahrizat agar meminta maaf secara terbuka kepada seluruh warga emas Pulau Pinang yang telah dihinanya itu," tegas Amir lagi.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009