SHAH ALAM, 5 Mac: Pejabat Menteri Selangor mengesahkan bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim (Gambar) pernah mengemukakan permohonan untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).
Pejabat Menteri Besar juga mengesahkan KPS telah menerima permohonan beliau itu dan Salehuddin pernah ditemuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan memutuskan supaya calon lain yang lebih layak dan sesuai dipilih bagi menjawat jawatan itu.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menerangkan kedudukan sebenar mengenai Salehuddin apabila nama KPS dikaitkan dengan kontroversi punca peletakan beliau meletak jawatan Setiausaha Agung PKR, kata kenyataan rasmi dari Pejabat MB Selangor.
Kenapa?
Ini berikutan kehadiran Salehudin pada setiap kali anggota Parlimen PKR membuat pengumuman keluar dari parti itu.
Salehudin pula membuat kenyataan, satu pertiga anggota parlimen PKR iaitu kira-kira 10 orang akan berbuat demikian. Jika kesemua 10 orang itu menyokong BN, ia akan membolehkan parti yang memerintah negara sekarang (BN) mendapat kembali kuasa 2/3 nya yang hilang dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.
Langkah Salehudin umpama cerita drama dalam filem polis apabila penjahat menahan sekumpulan tebusan dan membuat tuntutan dari pihak tertentu. Penjahat itu akan menembak satu persatu tebusannya sehinggalah tuntutannya dipenuhi.
Sehingga kini, sudah tiga 'tebusan dibunuh' dan akan terus 'membunuh' jika tuntutannya tidak diterima. Tidak diketahui apakah tuntutan Salehudin dan dari siapakah tuntutan itu ditujukan.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dalam kenyataannya berkata, Salehudin marah apabila permohonannya untuk menjadi CEO Kumpulan Perangsang yang bergaji RM50,000 sebulan ditolak.
Syed Husin juga berkata, Salehudin dibayar gaji sebanyak RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung PKR.
Dalam jawapan balasnya, Salehudin berkata, Anwar yang meminta beliau menjadi CEO Kumpulan Perangsang untuk kepentingan perjuangan PKR dan dia telah berkata kepada Anwar akan menjadi CEO dengan syarat dibayar gaji RM1 sebulan.
Sumber: Harakah Daily
0 comments:
Post a Comment