Arkib Blog

Friday, March 19, 2010

Mahu Pilihan Raya PBT Dilaksana Segera, Khalid Tulis Surat Kepada SPR


SHAH ALAM 19 MAC - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof 11 Mac lalu berhubung pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabat Datuk Menteri Besar hari ini Abdul Khalid meminta pandangan SPR berkenaan cadangan itu berlandaskan peruntukan Perlembagaan dankuasa kerajaan negeri sedia ada.

Berdasarkan kajian kerajaan Selangor, Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri terbabit.

Perkara 113 (4) itu menyatakan "Undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada pilihan raya yang dinyatakan dalam Fasal 1".

Undang-undang negeri pula memperuntukkan kuasa kepada kerajaan negeri melantik pihak berkuasa negeri mengikut Akta Pilihan Raya Tempatan 1960 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerajaan Selangor berpendapat, pilihan raya kerajaan tempatan perlu diwujudkan semula bagi memastikan rakyat boleh memilih wakil mereka meningkatkan urus tadbir dan kecekapan di samping memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan memperkukuhkan lagi sistem demokrasi.

Berdasarkan akta sedia ada dan pendirian, kerajaan Selangor meminta Abdul Aziz dan SPR menjalankan kajian dan penyelidikan rapi supaya cadangan ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Pada 10 Mac lalu kerajaan negeri Pulau Pinang menyatakan kesediaan menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung keperluan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata jika Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk mendengar penjelasan itu, beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri.

Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.

Ketiadaan pilihan raya PBT itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.

Pakatan Rakyat sebelum ini memasukkan isu pilihan raya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan perjumpaan dengan Abdul Aziz dan SPR bagi membincangkan perkara itu.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009