Arkib Blog

Friday, March 19, 2010

Ku Li: Wang Ehsan Punca Rasuah Salah Guna Kuasa


KUALA TERENGGANU, 19 MAC — Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Dialog ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Kira-kira 4,000 orang menghadiri dialog itu yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang. Tetapi penganjur menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran disaksikan di luar dewan.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa yang juga pengerusi jawatankuasa khas isu royalti negeri itu.

Dalam sesi dialog itu, Tengku Razaleigh yang kali kedua berucap di dewan yang sama menyentuh isu yang sama menjelaskan, pemberian wang ihsan tidak semestinya mengikut undang-undang ataupun peraturan, yang mana turut mengakibatkan kebocoran sumber kewangan.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa pengagihan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk Kelantan bermula bulan ini.

Langkah yang sama diamalkan di Terengganu sejak 2000 selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS pada pilihan raya umum 1999.

Akhir Januari lalu, Tengku Razaleigh dalam ceramah perdananya di Kota Baru melahirkan pendirian bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti lima peratus, bukannya wang ihsan.

Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan tuntutan mahu mendapatkan royalti RM2 bilion tetapi kerajaan pusat menegaskan ia tiada hak sama sekali sambil menggesa agar pergi ke mahkamah.

Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Pada majlis dialog malam tadi, Tengku Razaleigh menegaskan, penjelasan mendalam harus diberikan kepada orang ramai tentang perbezaan antara wang ihsan dan wang royalti.

Kata beliau, rakyat sanggup mengambil walaupun hanya diberi RM200 atau RM300 sedangkan mereka sepatutnya menerima lebih daripada jumlah tersebut.

“Sememangnya wang ihsan dan wang royalti ini berbeza. Oleh kerana rakyat miskin dia terima duit walaupun sedikit, mereka bersyukur dengan apa yang diterimanya.

“Tetapi kita kena jelaskan mereka bahawa wang royalti ini lebih banyak daripada apa yang disebutkan sebagai wang ihsan,” kata beliau.

Ini kerana menurut Tengku Razaleigh, dalam tempoh lima tahun lalu hampir RM20 bilion telah dibelanjakan sebagai wang ihsan manakala bakinya dikatakan RM2.9 bilion.

Tetapi kerajaan pusat hanya meluluskan RM1.6 bilion daripada jumlah tersebut, katanya.

Selain itu, ada peserta yang mempersoalkan mengapa Tengku Razaleigh tidak bersuara apabila Terengganu pertama kali membangkitkan wang royalti pada 2000.

“Saya hendak memberitahu, pertamanya saya tidak menerima wahyu. Nombor dua, (dulu) saya tidak berperanan macam sekarang.

“Hari ini saya dijemput oleh Mampat supaya datang untuk memberikan penerangan... dalam tahun 2008, Mampat ada konvensyen, saya dijemput saya datang. Baru-baru ini saya dijemput oleh Gegar di Kota Baru saya pergi.

“Tapi pada 2000 tidak sesiapa yang menjemput, maka saya pun tidak pergi,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan Mustafa berkata, sebenarnya Tengku Razaleigh telah memainkan peranan sejak satu dekad yang lalu.

Kata beliau, apabila kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk membawa isu royalti ke mahkamah antara pihak yang sanggup menjadi saksi ialah Tengku Razaleigh sendiri.

Oleh itu kata Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika pimpinan negeri PAS memberitahu, adalah tidak benar Tengku Razaleigh tidak bersuara pada tahun 2000.

Menurut Mustafa, pada awalnya mahkamah mahukan kehadiran saksi dalam kes berkenaan tetapi diketepikan ekoran rayuan daripada kerajaan pusat dan Petronas.

“Jadi Tengku Razaleigh tidak menjadi saksi untuk kita. Sebenarnya beliau telah memainkan peranan sejak tahun 2000,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan dengan Ordinan Darurat dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dikaitkan dengan isu pertikaian wang royalti Kelantan, Tengku Razaleigh berkata, sebenarnya beliau sendiri pun samar-samar dengan kandungan ordinan tersebut.

Pun begitu kata beliau, sesuatu akta mengatasi mana-mana ordinan apatah lagi jika ordinan itu dibuat sebelum akta berkenaan digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Yang saya difahamkan ordinan yang dimaksudkan ialah ordinan yang dibuat tahun 1966, tahun 1966 lebih awal daripada tahun 1974 iaitu Akta Pembangunan Petroleum, akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1974.

“Walaupun ordinan ini dibuat selepas tahun 1974, ia tidak boleh mengatasi akta yang dibuat tahun 1974,” katanya.

Berhubung iklan dalam akhbar-akhbar arus perdana awal bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata, kerajaan pusat menggunakan cara tersebut untuk memalukan beliau kononnya tidak konsisten dalam isu pertikaian wang royalti minyak sejak tahun 2000.

“Kononnya dulu (saya) cakap lain sekarang cakap lain. Yang tidak konsisten dia orang, bukan saya. Saya masih bercakap apa yang saya cakap dulu.

“Undang-undang itu yang saya cuba pertahankan. Saya datang hari ini hendak menjelaskan soal undang-undang itu,” kata beliau yang memulakan ucapan ringkasnya dengan menegaskan, peruntukan perundangan jelas menunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang ada pengeluaran hasil minyak wajar diberi wang royalti atau “wang tunai.”

“Perkara itu tidak harus berbangkit sekarang, tetapi ia masih menjadi isu sekarang,” kata beliau yang kemudiannya berdialog dengan menerima 15 soalan kesemuanya.

Menjawab soalan sama ada Kelantan boleh membatalkan perjanjian minyak yang sedia ada dan mengusahakan sendiri urusan cari gali minyak, Tengku Razaleigh berkata, ia membabitkan soal politik yang beliau tidak boleh menjawab sebagai bekas pengerusi Petronas.

Bagaimanapun jelas beliau, Kelantan boleh melakukannya jika merasakan ia mampu untuk berbuat demikian.

“Kalaulah ada kemampuan, kalaulah ada semangat sedemikian rupa, sila timbang perkara itu,” kata anggota kerabat diraja ini.

Soalan yang dikemukakan ialah mengapa Petronas tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen ketika ia ditubuhkan lebih tiga dekad yang lalu.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan memberitahu ketika itu Kabinet merasakan adalah memadai dan lebih baik Petronas diletakkan di bawah pengawasan langsung perdana menteri.

“Tetapi kalaulah kaedah ini tidak boleh diterima oleh rakyat (sekarang) mengapa tidak ditimbang untuk mengubah cara yang dipakai sekarang ini, tidak siapa yang boleh menghalang jika memang ada usaha untuk mengubah cara ini,” katanya.

Mengenai langkah selepas ini, Tengku Razaleigh berkata, beliau ada memaklumkan kepada Husam bahawa adalah sukar untuk dilaksanakan melainkan perdana menteri sendiri yang mengaku telah menerima nasihat yang salah.

Kata Tengku Razaleigh, sekiranya perdana menteri tidak sanggup mengubah pendiriannya, maka kerajaan negeri boleh mencari jalan tengah.

“Saya sendiri kata saya boleh jadi orang tengah untuk kerajaan negeri, mana-mana kerajaan negeri bukan kepada Kelantan sahaja, secara percuma... bagi kerajaan pusat menyelesiakan masalah ini.

“Kalau dia (kerajaan pusat) takut duit itu disalah guna untuk politik atau untuk apa sahaja, sanggup jadi orang tengah untuk manfaat kepada rakyat,” katanya.

“Itu satu cara. Cara yang lain ialah mengikut tafsiran undang-undang... macam di Perak, tengok apa yang berlaku, tafsir macam-macam.

“Terpulang kepada kerajaan negeri sama ada pilih jalan ini atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jalan paling selamat ialah mengadakan orang tengah supaya dapat meyakinkan kedua-dua pihak dalam menerima peruntukan yang ada sekarang.

“Yang satu lagi ialah menggunakan timbang rata, yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Petronas dan melantik hakim yang dipersetujui kedua-dua pihak,” kata beliau secara berseloroh menambah, “kalau tidak selesai juga, berperanglah.”

Tengku Razaleigh berpendapat tekanan seharusnya terus diberikan supaya kerajaan pusat akan sedar tentang hak sebenar kerajaan-kerajaan negeri.

“Yang kita buat ialah memberi tekanan supaya mereka sedar. Ada tekanan kepada kerajaan supaya mereka sedar bahawa rakyat prihatin dan mahu perkara ini diselesaikan mengikut peraturan undang-undang,” katanya.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009