Arkib Blog

Wednesday, March 10, 2010

Bekas MP Labuan didenda RM10,000 atau sebulan penjara

Bekas anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman yang semalam mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank, hari ini didenda RM10,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu.

Hakim Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendengar rayuan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili Suhaili, Rakbir Singh.

Semalam, Suhaili mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif tidak memaklumkan pihak Malayan Banking Bhd bahawa beliau seorang muflis pada 3 April, 1996 ketika menjadi penjamin dalam borang permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 oleh syarikat Saraequity Sdn Bhd, untuk membeli satu unit apartmen di Api-Api Centre di Kota Kinabalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Suhaili berkata beliau akan membayar denda itu hari ini namun peguamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu esok kerana beliau berpendapatan keputusan itu terlalu berat.

Ditanya sama ada keputusan mahkamah hari ini memberi kesan kepada karier politik beliau, Suhaili berkata: "Memang betul, sekarang saya digantung sebagai ketua Umno bahagian Labuan...bukan sahaja karier politik, hak saya sebagai
pengundi juga terjejas."

Terdahulu, Rakbir dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan bon jaminan berkelakuan baik terhadap Suhaili, 49, mengikut Seksyen 173 (A) Kaedah Tatacara Jenayah dan sabitan tidak direkodkan.

Bagaimanapun, Timbalan P endakwa Raya Fariza Hamzah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah kerana ianya akan menyampaikan mesej yang salah.

Hakim Duncan semasa menyampaikan penghakimannya berkata dalam membuat keputusan itu beliau telah mengambil kira pengakuan bersalah, tidak mempunyai rekod buruk serta sebelum ini tertuduh telah berkhidmat dengan baik sebagai ahli politik dalam kawasannya.

"Bagaimanapun, hukuman yang adil perlu diberikan. Tiada penjelasan diberikan kenapa tertuduh tidak tahu yang dirinya seorang muflis dan bon jaminan berkelakuan baik tidak akan memberikan mesej yang betul kepada bakal pesalah," katanya.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009