Arkib Blog

Thursday, March 18, 2010

Apa agenda tak mahu daftar pemilih automatik


KOTA BHARU, 18 Mac: Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) memberitahu sejumlah 4.39 juta pengundi belum berdaftar, sebaliknya menteri pula kata kerajaan tidak akan memaksa rakyat untuk mengundi.

“Ini bermakna hanya SPR sahaja yang bersungguh-sungguh untuk mendaftar pemilih belum berdaftar, sedangkan kerajaan tidak berminat berbuat demikian.

“Mungkinkah ada sesuatu yang kerajaan cuba sembunyikan apabila tuntutan rakyat dan parti-parti pembangkang supaya mengguna daftar secara automatik tidak dihiraukan,” kata Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan memberitahu persidangan parlimen, kerajaan tidak bercadang mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat yang mencapai umur 21 tahun.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan kebebasan berpersatuan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Sedangkan sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu SPR bercadang mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.

SPR juga dalam kenyataan menyebut sejumlah 4.39 juta pengundi atau 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi belum mendaftar.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, sebanyak 72 peratus atau 7,878,875 pemilih keluar mengundi daripada 10,922,139 jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara.

Mohd Khir yang juga Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberi analogi mudah, mana lebih baik menangkap ayam dan dikurung dalam reban sebelum disembelih atau menangkap ayam di luar kandang sebelum dikorbankan.

“Kerajaan sudah ada jalan yang begitu mudah dan menjimatkan masa bagi mendaftar pengundi, namun kerajaan masih enggan melakukan.

“Ini menimbulkan satu persoalan. Kalau tidak ada agenda sulit yang tidak diketahui umum, sudah tentu pendaftaran pengundi secara automatik yang lebih telus dan menjimatkan wang kerajaan diterima pakai,” katanya.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof berkata, setiap kali pengerusi baru SPR dilantik tentunya ada cadangan pembaharuan yang cuba dibawa bagi mengelakkan badan itu daripada terus dikritik pembangkang.

Katanya, begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Tan Sri Aziz, beliau cuba untuk melakukan reformasi, namun kerajaan enggan menerimanya.

“Ini bermakna kita terpaksa menunggu pengerusi baru SPR lain pula untuk melihat ada ketelusan dalam sistem pengendalian pilihan raya di negara ini.

“Mungkin juga kenyataan pengerusi SPR baru sekarang hanya sekadar untuk meredakan kemarahan dan mengelakkan menjadi sasaran kritikan pembangkang,” katanya.

Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan Barisan Nasional ternyata takut dengan kehadiran pengundi muda sehingga cadangan daftar automatik tidak dihiraukan kerajaan.

“BN takut tidak lagi dapat memanipulasi daftar pemilih kalau dilakukan pendaftaran secara automatik. Itulah sebabnya kerajaan tolak untuk leksanakan daftar itu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat negeri.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustapha berkata, kerajaan nampak berminat membelanjakan lebih banyak wang untuk mengadakan kempen daftar pemilih, sedangkan kaedah yang menjimatkan diketepikan.

“Penantian begitu lama rakyat untuk melihat pengendalian pilihan raya berlaku secara benar-benar telus belum mampu menjadi kenyataan,” Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009