Arkib Blog

Tuesday, September 15, 2009

Selcat : Adun BN Salahguna Wang Peruntukan



Sekumpulan pegawai kerajaan di Selangor tampil mendedahkan wakil rakyat Umno-Barisan Nasional menghabiskan peruntukan sehingga RM10 juta ringgit dalam tempoh beberapa minggu sahaja bagi tujuan memenangi pilihanraya umum lalu.

Ada antara peruntukan itu diluluskan dalam masa hanya seminit, sebagaimana yang diakui oleh pegawai kanan Majlis Daerah Gombak Tahir Bujang.

Seorang lagi pegawai menjelaskan mereka terpaksa meluluskan peruntukan itu secepat mungkin bagi mengelak diambil tindakan oleh pucuk pimpinan Umno-BN.

"Bergantung kepada Adun berkenaan...kalau mereka mahu habiskan dengan segera. Kalau kita tahan, lain pula jadinya. Jadi kita kena luluskan secepat mungkin," kata Huzaini Samsi yang menjadi Pegawai Daerah Gombak sejak 2007.

Pegawai-pegawai berkenaan memberi keterangan pada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor minggu lalu.

Selcat menerima keterangan rasmi yang menunjukkan RM10 juta peruntukan prasarana Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Gombak habis digunakan oleh wakil rakyat Umno-BN untuk kempen pilihanraya umum pada 8 Mac tahun lalu.

Pengerusi Selcat Teng Chang Kim berkata, dana itu diluluskan Kerajaan Negeri untuk tahun 2008 tetapi dihabiskan dalam tempoh dua bulan sebelum pembubaran dewan negeri dan Parlimen.

“Keterangan dari Pegawai Daerah Gombak Huzaini Samsi adalah jelas: RM10 juta untuk setiap daerah bagi pembinaan prasarana itu diselewengkan untuk digunakan semasa pilihanraya umum 2008.

Bagi kami itu adalah satu penyalahgunaan kuasa dan dana kerajaan kerana kegunaannya lebih menjurus kepada kempen pilihanraya umum,” kata beliau.

Teng berkata, peruntukan RM10 juta itu sepatutnya dibentangkan di sidang Dewan Negeri bagi memastikan pengagihan dilakukan secara terancang, adil dan telus.

"Tetapi apa yang berlaku RM10 juta itu diberikan kepada setiap daerah sedangkan di bawah setiap daerah kawasan DUN adalah berlainan.

Contohnya di Gombak cuma ada lima kawasan DUN, Petaling ada 13 DUN, Klang ada sembilan DUN, jadi bererti peruntukan itu tidak diagihkan dengan adil dan saksama,” katanya.

Teng juga menyifatkan tindakan pejabat daerah meluluskan permohonan peruntukan tanpa menyemak butir program adalah tidak wajar kerana mungkin akan berlaku penyalahgunaan.

Pada 11 September lalu, Selcat memanggil Huzaini untuk memberi keterangan berhubung isu peruntukan enam DUN Barisan Nasional di daerah Gombak sejak dari Februari sehingga Mac.

Enam DUN itu adalah Batu Caves, Gombak Setia, Hulu Klang, Kuang,Taman Templer dan Rawang.

Hampir RM3 juta peruntukan habis dibelanjakan dalam tempoh satu bulan setengah, sebelum menjelang pilihanraya umum Mac tahun lalu dengan 888 permohonan.

Teng turut menerima pengakuan Tahir Bujang, bekas Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Gombak yang kini Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Sepang, bahawa ada permohonan diluluskan dalam masa seminit.

Teng terkejut dengan pengakuan itu.

“Saya keliru sekarang ini, berapa lama masa sebenarnya diambil untuk satu permohonan sehingga keluar cek? Dalam satu minit sahaja boleh selesai, sangat mengkagumkan. Tak semak dahulukah permohonan tu? Satu minit sahaja boleh siap?,” katanya.

Sesi kedua Selcat menyaksikan Pegawai-pegawai daerah di Selangor memberi penjelasan mengenai peruntukan setengah juta yang mereka habiskan dalam masa dua hingga tiga bulan pertama 2008.

Adun BN menerima RM500,000 manakala Exco menerima penambahan RM100,000. Daripada 56 Adun pada masa itu, hanya 54 saja menerima peruntukan itu manakala Adun pembangkang tidak menerima peruntukan kerajaan Khir Toyo.

Huzaini memberitahu Selcat bahwa wakil rakyat terbabit akan membelanjakan peruntukan mereka begitu cepat pada musim pilihanraya.

Huzaini berkata perbelanjaan bulanan selalunya sekitar RM20,000 hingga RM30,000 namun menjelang pilihanraya umum, wakil-wakil rakyat BN ini akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan itu.

"Keadaan yang luarbiasa berlaku menjelang pilihanraya kerana wang dibelanjakan sebanyak mungkin dengan cepat sekali," katanya.

Huzaini mendedahkan tidak ada mekanisme memantau tabiat berbelanja Adun-adun BN terbabit.

Sumber: tvantara.com

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009