Arkib Blog

Sunday, August 16, 2009

Tindakan Polis Ibarat Tidak Iktiraf Peguam



Layanan polis terhadap peguam di negara ini ternyata menunjukan badan berkuasa berkenaan tidak mengiktiraf para peguam.

Perkara ini didedahkan oleh para peguam yang menjadi saksi dan mangsa tahanan polis dalam Inkuiri Awam Suhakam terhadap penahanan peguam dari Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Mangsa, Peguam Fadiah Nadwa Fikri dalam keterangannya berkata, menjadi kebiasaan kepada para peguam terpaksa menunggu selama berjam-jam di luar pagar balai polis.

Katanya, beliau yang telah berpengalaman mengendalikan beberapa kes terpaksa berbuat demikian kerana polis enggan membenarkan peguam masuk ke balai untuk menemui dan mendapatkan maklumat berhubung anak guamnya.

“Ya, kebiasaannya peguam tidak dibenarkan masuk dan hanya menanyakan soalan di luar pagar. Kami akan menunggu selama beberapa jam untuk mendapatkan makluman anak guam kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dari Pesuruhjaya inkuiri berkenaan, Muhammad Shafee Abdullah.

Fadiah dalam keterangannya juga turut menyatakan beliau dan empat rakannya yang merupakan peguam tetap ditahan walaupun mereka telah memaklumkan kepada pegawai polis bahawa mereka adalah peguam yang mewakili tahanan pada malam berkenaan.

“Puspa (Puspawati Rosman) kata beliau telah maklumkan kepada polis bahawa beliau adalah peguam, kemudian saya pun beritahu kami dari LAC dan tahanan adalah anak guam kami.

“Saya kata mahu berjumpa pegawai penyiasat tetapi mereka maklumkan bahawa beliau sedang bermesyuarat,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima mereka menunggu di luar pagar hampir setengah jam dan beliau kemudiannya menghubungi DSP Judy Blacious Pereira datang kepagar untuk berbincang.

Katanya, Judy memaklumkan anak guamnya telah menandatangani borang melepaskan hak guaman.

Fadiah menjelaskan ke hadapan inkuiri, bahawa sebelum itu anak guamnya Ginie Lim memberitahunya melalui telefon bahawa mereka dipaksa menandatangani borang berkenaan.

Mereka bagaimanapun enggan menandatangani borang itu.

“Tiada spesifik asas tahanan mengapa anak guam saya ditahan. Sepatutnya beliau datang dekat dan cakap. Apa-apa pun, dalam tugas mereka tidak ada hak untuk menahan kami semasa bertugas,” katanya.

Katanya, selepas ditahan mereka di bawa ke Balai Polis Travers. Fadiah menyelar tindakan biadap seorang polis lelaki yang mendatanginya semasa beliau sedang berbaring di dalam lokap.

Pendedahan Fadiah ini turut disokong oleh saksi inkuiri, iaitu Presiden Majlis Peguam, Ragunaht Kesavan.

Ragunath dalam keterangannya berkata, beliau dihalau oleh Ketua Polis Brickfield, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika meminta untuk berjumpa anak guamnya.

“Saya dibenarkan masuk ke dalam dan berkata kepada beliau untuk berjumpa dengan anak guam saya kemudiannya OCPD jerit ‘Tidak, Keluar dari balai atau saya tangkap awak’,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak tahu sama ada anak guamnya akan ditahan semalaman atau tidak kerana tidak mempunyai apa-apa maklumat dari polis.

“Ini kali pertama saya dihalau. Balai polis adalah tempat awam, mengapa saya dihalau dan saya tidak tahu apa yang berlaku, sama ada mereka di tahan atau ditahan di balai mana,” katanya kepada Muhammad Shafee.

Prosiding hari ini dimaklumkan oleh Superitenden Munusamy dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bahawa DSP Judy bukan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan sebaliknya ASP Hoo Chang Hook.

Inkuiri di tangguh dan bersambung 29 Ogos ini.

Sementara itu, Fadiah yang ditemui di luar bilik perbicaraan berkata, beliau terkejut apabila diberitahu bahawa DSP Judy bukan pegawai penyiasat kes berkenaan kerana Judy tidak pernah menyangkal perkara berkenaan malahan memberi respon.

“Ya, baru hari ini dalam prosiding tadi saya dimaklumkan DSP Judy Pereira adalah bukan pegawai penyiasat sebenar. Sebelum ini kami bertanya kepada pihak polis mereka menyatakan beliau adalah pegawai penyiasat. Dan apabila kami merujuk kepada beliau, beliau tidak pernah menyatakan beliau bukan pegawai penyiasat bertugas,” katanya.

Katanya, prosiding menjadi hangat apabila beliau menyangkal dakwaan Superitenden Munusamy bahawa sekiranya peguam berkumpul lebih dari lima orang ia diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram.

“Soalan beliau mengatakan apabila peguam berkumpul dari lima orang ia adalah perhimpunan haram. Ia sangat pelik kerana peguam menjalankan tugas yang diberikan di bawah undang-undang.

“Dalam menjalankan tugas kami tidak sepatutnya ditangkap kerana tugas yang diberi kuasa di bawah undang-undang. Tidak timbul isu perhimpunan haram atau tidak. Kami berkumpul untuk berjumpa anak guam," katanya.

Sumber: tvantara.com

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009