AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Sunday, August 9, 2009

Polemik ‘Pengkhianat Melayu’ : Petanda Pilihanraya Umum Bakal Menjelang

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

9 Ogos 2009

Polemik ‘Pengkhianat Melayu’: Petanda Pilihanraya Umum Bakal Menjelang.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan trend media-media arus perdana yang begitu serius memainkan isu ‘Pengkhianat Melayu’ mutakhir ini. Pandangan dan komentar pimpinan-pimpinan Umno khususnya disebar luas melalui media-media cetak dan elektronik yang jelas bertujuan untuk memberikan impak negatif ke atas imej Ketua Umum KEADILAN, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat secara umumnya.

Berdasarkan kepada analisis trend, AMK yakin dan percaya bahawa strategi ini bertujuan sebagai persediaan Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat. Dan ini juga sebagai persediaan awal bagi kempen Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir yang dijadualkan akan diumum oleh SPR esok, 10 Ogos 2009.

Polemik pengkhianat Melayu ini berterusan dimainkan dengan restu Perdana Menteri Najib yang jelas menggambarkan ketandusan idea kepimpinan beliau untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara gentleman dan terbuka. AMK percaya ini berlaku rentetan beberapa isu mutakhir yang gagal didepani dengan baik oleh kepimpinan Najib termasuklah pendedahan isu skandal penyelewengan PKFZ, isu kematian Teoh Beng Hock dalam siasatan SPRM dan ditambah dengan sambutan luar biasa ke atas Perhimpunan Aman GMI-MANSUH ISA yang diadakan pada 1 Ogos 2009 lepas di mana berjaya mengumpulkan seramai puluhan ribu rakyat.

Label pengkhianat berterusan dicop ke atas batang tubuh Datuk Seri Anwar bertujuan sebagai satu kaedah pembunuhan karakter ke atas imej Datuk Seri Anwar, sebagaimana yang dilakukan ke atas imej Tuan Guru Nik Abdul Aziz sempena Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai yang lepas. Tetapi kaedah serangan karakter yang begitu agresif ini pastinya memberikan modal politik yang positif kepada Pakatan Rakyat. Untuk rekod, serangan bertalu-talu terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dimainkan beberapa hari sebelum pilihanraya umum yang lalu di mana ternyata strategi UMNO/BN telah memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat !

Bukanlah sukar untuk mengenal siapa pengkhianat Melayu.
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu?
- Siapakah yang melacur pendidikan negara dengan pelaksanaan PPSMI yang membunuh potensi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
- Siapakah yang menyerahkan tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura dengan bayaran RM350 juta seperti didedahkan oleh hubaya tertentu?
- Siapakah yang menafikan hak masyarakat Melayu di negeri Kelantan dan Terengganu untuk memperolehi royalti petroleum sejak sekian lama?
- Siapakah yang memecat Almarhum Datuk Ishak Baharom yang menggazetkan fatwa pengharaman penyertaan orang Melayu di dalam Pertandingan Ratu Cantik Di Selangor satu ketika dahulu?
- Siapakah yang menyeleweng kuota masyarakat Melayu di dalam pengagihan kontrak-kontrak untuk kroni-kroni mereka semata?
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan Persempadanan Semula kawasan Pilihanraya yang mengecilkan undi Melayu untuk tujuan kepentingan politik mereka?
- Siapa pula yang satu ketika dahulu bermati-matian mahu menggugurkan nama Islam di dalam semua pertubuhan politik dan NGO satu ketika dahulu?

Soalan-soalan ini jika dijawab hanya akan disimpulkan dengan satu jawapan, iaitu Umno. AMK percaya apa yang berlaku kini bukanlah masyarakat Melayu yang berada di persimpangan, sebaliknya Umnolah yang berada di persimpangan: samada berubah ataupun rebah di tangan rakyat. Tidak timbul soal Melayu berpecah, sebaliknya yang berlaku ialah peralihan sokongan masyarakat Melayu daripada Umno kepada Pakatan Rakyat.

AMK menyarankan agar Umno bertaubat daripada memainkan sentimen perkauman yang dahsyat ini. Hakikat menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu tidak mudah lupa dan tidak akan lupa dengan segala penyelewengan dan politik adu-domba tajaan Umno yang kini semakin nazak dan gusar untuk berhadapan dengan rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009