KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Wabak influenza A (H1N1) semakin serius sehingga kerajaan mencadangkan pemakaian topeng muka jika berkunjung ke tempat sesak, selain mengamalkan "etika batuk" dan menjaga kebersihan diri dan pengudaraan rumah yang baik.
Menurut laporan Serangan wabak influenza A (H1N1) masuk ke tahap baru hari ini dengan wujudnya gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat di Cyberjaya.
Seramai 12 orang, daripada 24 kes tempatan terbaru, di syarikat swasta itu disahkan diserang wabak, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.
"Gejala kejadian bermula antara 4 hingga 8 Julai 2009.
"Punca kejadian kemungkinan berlaku di syarikat berkenaan berdasarkan siasatan mendapati syarikat berkenaan sentiasa menerima pelawat-pelawat dari luar negara," kata menteri kesihatan.
Dalam kenyataan hariannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berkata 61 kes lagi jangkitan virus wabak selesema itu dikesan, menjadikan jumlah semuanya 574 sejak pertama dikesan Mei lalu.
Sehingga kini jumlah keseluruhan penularan tempatan 159 kes.
Semalam, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif influenza A (H1N1).
"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.
"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan," kenyataan kementerian dipetik.
Liow juga berkata, susulan merebaknya wabak tersebut di syarikat swasta itu dan ALAM, "ini memberi petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti."
"Kementerian Kesihatan perlu membuat persediaan proaktif kepada perkara ini," kata Liow.
"Jika penularan dalam komuniti ini tidak dikawal dengan baik, penularan akan meluas dengan cepat dan akan melibatkan kes-kes yang banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal, kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian."
Liow menyarankan tiga langkah diambil untuk membendung pandemik di Malaysia:
1.Merenggangkan diri daripada orang ramai (social distancing) seperti mengurangkan perjumpaan, mengamalkan "etika batuk", kebersihan tangan dan pengudaraan dalam rumah yang baik.
2.Aktiviti pencegahan dan kawalan seperti ini di kalangan orang awam berkesan untuk memperlahankan penularan penyakit dalam masyarakat.
3.Di tempat kerja termasuk institusi dan sekolah, pemantauan kesihatan perlu diperkukuhkan. Mereka yang bersimptom perlu dikenal pasti dan dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat.
Ketidakhadiran ke tempat kerja yang luar biasa juga perlu dipantau dan kaitannya dengan jangkitan influenza.
Kes-kes yang ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar dan diminta tinggal di rumah.
Mereka diminta untuk mengambil langkah kawalan jangkitan serta melaporkan jika tanda-tanda penyakit bertambah teruk.
Kes-kes yang berisiko tinggi seperti lelah, penyakit respiratori kronik, diabetes mellitus, kegagalan organ, obesiti dan ibu hamil akan dirawat hospital.
Orang ramai juga diminta untuk mengamalkan pemakaian topeng muka jika mengalami gejala influenza, jika mengunjungi ke tempat-tempat yang sesak dan juga jika menghidapi penyakit (co-morbid) dan keadaan yang menyebabkan tahap imuniti yang rendah.
Di pusat-pusat rawatan kesihatan dan perubatan, mereka yang bersimptom perlu diasingkan daripada pesakit biasa.
Rawatan antivirus diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerja kesihatan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa penyakit ini dan maklumat tepat daripada kementerian melalui laman web www.moh.gov.my dan h1n1.moh.gov.my.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian khas influenza A (H1N1) kementerian di 03-88 81 02 00, 03-88 81 03 00, 03-88 83 44 14 dan 03-88 83 44 15 yang beroperasi antara 8 pagi hingga 9 malam setiap hari. - azm _
0 comments:
Post a Comment