SHAH ALAM: Pengusaha dan pelabur yang sudah membeli lot komersial di Taman Halal Selangor dijangka memulakan pembinaan kemudahan dan kilang masing-masing di kawasan itu, sebaik agensi kerajaan berkaitan meluluskan bentuk intensif yang bakal ditawarkan.
Ketua Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Datuk Mhd Jabar Ahmad Kembali berkata, keputusan mengenai bentuk intensif itu dijangka diketahui enam bulan lagi.
Ketika ini, katanya agensi kerajaan terbabit termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dalam peringkat akhir perbincangan mengenai perkara itu.
“Kebanyakan pengusaha sedang dalam peringkat perancangan untuk memulakan pembinaan mereka. Cuma kita sedang menunggu mereka mendapat intensif daripada kerajaan”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pembanguan Taman Halal Selangor Pulau Indah, di pejabatnya di sini, semalam.
Mhd Jabar berkata, pada mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan dan pengusaha itu, SSIC turut menyuarakan harapan agar Kerajaan Pusat melalui kementerian terbabit dapat membantu mempercepatkan pelaksanaan projek Taman Halal Selangor itu.
Katanya, sudah ada beberapa syarikat yang mahu membina kilang di taman berkenaan tetapi mereka masih menunggu bentuk intensif daripada HDC manakala syarikat lain dalam perancangan menyediakan pelan.
“Selepas insentif diputuskan kerajaan, kita akan melihat beberapa syarikat memulakan pembangunan di sini”, katanya sambil menambah, antara insentif yang bakal ditentukan HDC ialah kemudahan pengecualian cukai tertentu.
Ditanya sama ketiadaan kata putus mengenia bentuk intensif menjadi punca pengusaha dan pelabur belum memulakan pembinaan di lot yang sudah dibeli, Mhd Jabar mengakui, ia adalah faktor dan perlu diberi perhatian segera.
Selain itu, katanya, keadaan ekonomi yang tidak menentu juga menyumbang kepada penangguhan sementara rancangan mereka. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment