AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, June 5, 2009

Hadi: Umno Perkudakan Islam Untuk Terus Berkuasa



Umno memperkudakan nama Islam untuk kepentingan politik, merasuah dan menindas hak masyarakat Islam dan bukan Islam, sehinggakan agama suci itu dipandang rendah rakyat jelata.

Islam tidak dijadikan sebagai panduan untuk memerintah dengan keadilan, sebaliknya menghalalkan cara untuk memastikan mereka terus mengamalkan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Demikian kata Presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya kepada lebih 3,000 hadirin pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

“Umno menunjukkan model Islam yang salah kepada rakyat berbagai kaum dan agama, serta menghilangkan kewibawaan umat Islam.

“Mereka tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dengan keadilan dan hikmah untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya,” kata beliau.

“Sifat Islam yang adil untuk semua tidak dapat dibuktikan, manakala amalan amar makruf nahi mungkar dibelenggu oleh sistem yang menghalangkan,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menambah mercu suar pemerintahan Umno-BN selama ini adalah ketakutan. Kerajaan di bawah Umno-BN menyaksikan polis diperkudakan, Akta Keselamatan Dalam Negeri diguna untuk membisukan suara bangkangan, manakala media ditundukkan dengan pelbagai akta-akta anti-demokrasi.

“Ianya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang, dan menghakis amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan negara,” kata Hadi.

“Kita berpendapat bahawa untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara hendaklah melalui undang-undang dan sistem kehakiman adil. Pra-syarat melahirkan negara demorkasi adalah sistem pilihanraya yang bebas, pemisahan kuasa eksekutif-legislatif-kehakiman yang jelas, serta kebebasan bersuara dan komitmen kepada hak asasi manusia,” tegas beliau.

Presiden Pas yang menang tanpa bertanding itu juga turut dukacita kepada maslahat bangsa Melayu dibawah Umno.

Obor jati-diri Melayu malap dan malar dalam arus perdana pembangunan negara dengan dasar-dasar kerajaan Umno-BN yang masih terperangkap dalam kerangka minda penjajah.

“Pindaan Perlembagaan Malaysia (yang dilakukan Umno) bukannya bertujuan Islah (reformasi) untuk memerdekakan negara sepenuhnya dari kongkongan jahiliyah.

“Umno melemahkan Bahasa Melayu, Jawi dan peranannya dalam ilmu. Ini sangat memalukan bangsa Melayu kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, tetapi tulisan Jawi dan Bahasa Melayu dipinggir oleh dasar yang digubal Umno,” tegas.

Beliau juga mengambil kesempatan menyelar kelemahan Umno-BN mengatasi krisis ekonomi Malaysia hari ini.

Abdul Hadi menjawab propaganda media Umno-BN dengan berkata Malaysia tidak mungkin selamat dengan ekonomi yang didokong rasuah dan penyelewengan di setiap lapisan kerajaan dan masyarakat.

“Lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, sarat dengan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisma dan nepotisma yang menjadi tabiat buruk orde lama.

“Rakyat dan golongan pekerja terdedah kepada kemelesetan, beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman tidak berbayar terus meningkat,” katanya dan menambah, “Rakyat terus menanggung kerugian besar, sementara segelintir kroni terus mengecapi keuntungan,” kata Abdul Hadi lagi.

Beliau berkata ekonomi Malaysia hanya dapat diselamatkan dengan ketanggungjawaban yang jitu dalam pentadbiran negara. Penswastaan aset penting negara seperti kesihatan dan pendidikan akan mengundang mudarat.

“Pas kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian ekonomi bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak, serta iltizam pemimpin kepada mentadbir dan memakmurkan bumi dan rangka tuntutan amanah.

“Golongan berpendapatan rendah, fakir dan miskin, mesti dilindungi dengan kaedah agihan kekayaan yang saksama bagi membela kehidupan mereka. Jaringan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan bagi semua rakyat mesti ditekankan.

Inilha prinsip Islam, dan mesti dilakukan secara adil,” tegas beliau.

Abdul Hadi mengambil masa selama dua jam untuk membaca teks ucapan beliau.

Sumber: tvantara.com

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009