Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengulangi gesaan kepada kerajaan agar mengambil tindakan terhadap beberapa media asing yang mencemarkan imej perdana menteri dengan skandal kontrak pertahanan dan kes bunuh Altantuya Shaariibuu.
Tanpa menyebut nama Najib Razak atau kes khusus yang dihadapi pemimpin negara itu, presiden PAS dalam ucapan dasarnya di muktamar pagi ini berkata:
"PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan (undang-undang) bagi membersihkan pemimpin utama negara yang dipaparkan oleh media asing sebagai mempunyai bebanan kes rasuah dan jenayah.
"Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan."
Abdul Hadi bersama dua lagi tokoh utama Pakatan Rakyat - Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang masing-masing bagi pihak PKR dan DAP - membuat gesaan yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Najib dilantik perdana menteri keenam, 3 April lalu.
"Sekiranya tindakan pembetulan ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia," kata Abdul Hadi di depan lebih 1,000 perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan.
PAS menganjurkan muktamar tahunan ke-55 selama tiga hari sehingga Ahad di Stadium Malawati, Shah Alam.
Abdul Hadi juga menggesa Dewan Pemudanya "mengakhlakkan" program-program hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dianggap berada di luar ruang lingkup kegiatan parti.
"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," katanya dalam ucapan bertemakan 'Islam Memimpin Perubahan.'
"Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam."
Sumber: tvantara.com
0 comments:
Post a Comment