AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, September 1, 2010

Rafizi Umum Tanding Ketua AMK, Perkenal Barisan 'Generasi Reformasi'


PETALING JAYA 1 Sept - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Mohd Rafizi Ramli hari ini secara rasmi mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN dalam pemilihan parti.

Mohd Rafizi, 33, yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor muncul dengan barisan kabinet bayangannya yang dinamakan 'Generasi Reformasi' yang dianggotai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau akan berganding bahu dengan Naib Ketua AMK yang juga ADUN Batu Caves, Amirudin Shari yang akan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin serta ADUN Hutan Melintang, S Kesavan masing-masing akan bertanding sebagai Naib Ketua AMK.

Kumpulan yang mengandungi ADUN Teja, Chang Lih Kang, bekas Ketua AMK Selangor, Halimey Abu Bakar, Ketua Biro Integrasi KEADILAN Perak, M A Tinagaran dan bekas Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Saifullah Zulkifli akan merebut jawatan Exco AMK.

Mohd Rafizi membuat pengumuman tersebut pada satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Tropicana, Petaling Jaya tengahari tadi.

Turut sama pada sidang media itu ialah Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tetapi beliau tidak mengumumkan sebarang hasrat untuk bertanding jawatan dalam AMK.

Selain Rafizi, beberapa nama lain yang disebut-sebut akan menentang penyandang Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin ialah Ahli MPP, Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard dan Ketua Cabang Parit Sulong, Hasmi Hashim.

Jawatan Ketua AMK dianggap antara kerusi panas pada pemilihan KEADILAN yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Rafizi berkata AMK sebagai barisan teraju utama pimpinan muda dalam KEADILAN yang diberi tangggngawab mendekati anak muda memerlukan suntikan dan dinamisme baru bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan menarik sokongan golongan muda.

"Isu-isu yang diperjuangkan perlu melambangkan isu yang rapat dan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda ini. Kita perlu ingat 4.6 juta pengundi muda ini mempunyai citarasa, pengalaman dan kehendak yang berbeza.

"Oleh sebab itu pada pendapat kami pendekatan yang perlu diambil oleh AMK dalam menghadapi PRU ke-13 juga perlu dipelbagaikan.

"Pendekatan yang baru, isu yang perlu lebih luas dan rapat dengan anak muda supaya kita boleh menarik minat anak muda yang pada ketika ini kurang berminat dengan politik," ujar beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Leeds.

Mohd Rafizi yang dikatakan kurang dikenali dan tidak mendapat sokongan padu di kalangan ahli AMK di peringkat akar umbi, merupakan antara yang terawal terlibat dalam menyusun gerakan reformasi pada 1998 bersama aktivis mahasiswa dalam PKPIM dan Gabungan Mahasiswa islam Se-Malaysia (Gamis).

Anak kelahiran Besut ,Terengganu ini juga merupakan penggerak utama dalam laman Free Anwar Campaign semasa kebangkitan awal refromasi bersama reformis Raja Petra Kamaruddin dan Dr Abdul Rahim Ghouse.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pemuda Keadilan di bawah portfolio antarabangsa semasa Ezam Mohd Nor mengetuai sayap pemuda itu.

Bagaimanapun Rafizi menarik diri dari beberapa jawatan parti bermula pada 2004 selepas tidak bersetuju dengan beberapa keputusan pimpinan.

Katanya, 'atas semangat politik baru' pada masa itu beliau membuat keputusan mengundurkan diri demi menghormati keputusan majoriti parti.

"Kalau kita tidak bersetuju dan tidak berani mempertahankan keputusan majoriti yang telah dibuat parti pada ketika itu, kita perlu menarik diri. Kita tidak boleh berada dalam kepimpinan dan pada masa yang sama mensabotaj keputusan pimpinan.

"Itu pendirian yang saya ambil dan sebab itu saya tarik diri daripada jawatan parti. Bermula 2004, saya ahli KEADILAN biasa dan aktif di peringkat bawahan sahaja dan membantu pimpinan yang ada. Sepanjang masa itu saya memberi perhatian terhadap kerjaya," kata beliau yang juga bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009