AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, August 10, 2010

Suaram ragui KDN pantau kesihatan, rawatan OKT


KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) amat meragui kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan semua orang kena tahan (OKT) dipantau dari segi kesihatan serta mendapat rawatan kesihatan sekiranya diperlukan.

Suaram turut mengutuk keras Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia di atas kematian Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, dalam Mahkamah Majistret 2, Kuantan, Pahang semasa dalam tahanan polis.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pihaknya mengutuk pihak polis yang bertugas langsung tidak menjalankan tanggungjawab untuk memastikan keadaan OKT dalam keadaan yang sihat dan baik seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4) semasa di lokap Mahkamah Majistret 2, Kuantan.

Wan Khairul Azizi yang berasal dari Felda Bukit Goh dan telah ditahan di Penjara Penor sejak 12 Mei 2010 atas tuduhan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 7 Ogos lalu, orang kena tahan (OKT) tersebut telah hadir di Mahkamah Majistret 2, Kuantan untuk sebutan kesnya dalam keadaan badan yang amat lemah.

Tidak lama setelah berada di mahkamah, beliau telah rebah dan meninggal dunia.

“Suaram ingin membangkitkan beberapa persoalanan berhubung perkara ini,” ujar Heng Lung dalam satu kenyataan.

Pertama, katanya di manakah pegawai polis yang bertugas ketika mangsa OKT dalam keadaan amat lemah; dan kedua, mengapa pengawai polis enggan mengambil tindakan kecemasan yang sewajarnya ketika diminta oleh ahli keluarganya.

Beliau berkata, Suaram melahirkan kekecewaan terhadap kualiti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Penjara Malaysia.

Katanya, mengikut kenyataan ahli keluarga mangsa, pihak pengawai penjara juga tidak memaklumkan keadaan kesihatan OKT kepada mereka sebelum itu.

Ini, ujarnya menunjukkan pihak penjara tidak memberi penjagaan yang sepatutnya seperti yang termaktub di dalam Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan-peraturan Seksyen (234), (235) dan (236).

“Kes kematian dalam tahanan ini bukan yang pertama. Mengikut Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat sebanyak 141 orang yang mati dalam tahanan sejak tahun 2000.

Sehubungan itu, katanya Suaram menyeru agar kerajaan segera melaksanakan IPCMC iaitu Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang bersifat bebas serta telus dan adil.

Di samping, ujarnya tindakan tatatertib hendaklah segera diambil terhadap pengawai polis dan penjara yang terlibat selain meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap kualiti PDRM dan juga Jabatan Penjara serta menghentikan penyalahgunaan institusi negara terutama PDRM untuk menindas hak-hak rakyat.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009