AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, August 10, 2010

Khalid Tuntut Hishammuddin Jelas Kenapa Label Aminulrasyid Penjenayah


SHAH ALAM 10 Ogos - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menuntut untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama ibu kepada remaja yang mati ditembak polis, Aminurasyid Amzah dalam masa terdekat bagi meminta menteri itu memberi penjelasan berhubung tuduhan beliau dan pihak polis bahawa pelajar tingkatan dua itu adalah penjenayah.

Khalid berkata, sehingga kini pemimpin Umno-Barisan Nasional langsung tidak memberikan pembelaan sewajarnya kepada mangsa dan keluarganya malah tuduhan tersebut tidak ditarik balik apatah lagi memohon maaf di atas perbuatan pihak polis.

"Saya dah tunggu beberapa bulan dan memberikan peluang kepada pemimpin Umno untuk membuat pembelaan tetapi mereka gagal," kata beliau pada sidang media di pejabatnya petang semalam.

Menurut Khalid, lebih menjengkelkan apabila pimpinan tertinggi Umno-BN tidak memperdulikan pembelaan yang sepatutnya diberikan kepada keluarga mangsa meskipun mengetahui latar belakang ibu mangsa, Norsiah Mohammad yang pernah bergiat dalam politik parti itu.

"Ibu Aminulrasyid adalah bekas Ahli Jawatankuasa Cawangan Seksyen 9 Wanita Umno. Bila anaknya meninggal, rumahnya dilawati oleh (Datuk Seri) Noh Omar - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, (Datuk Ahmad) Nawawi (Md Zin) - Ketua Umno Bahagian Shah Alam dan (Datuk) Salamon Selamat - bekas Datuk Bandar Shah Alam tetapi pembelaan tidak dibuat," tegas beliau lagi.

Tambahnya, Umno-BN juga sanggup memperkudakan anggota bawahan parti bagi kepentingan pemimpin walhal pada hakikatnya apabila mereka berhadapan situasi kritikal, sudah pasti pemimpin Umno-BN tidak akan membela mereka.

"Sudahlah anaknya mati ditembak, dituduh pula penjenayah, kemudian tak mahu tarik balik dan sampai ke hari ini tidak sanggup meminta maaf dan ini semua adalah kenyataan tidak berhati perut.

"Jadi saya minta dia (Hishamuddin) berikan satu tarikh dalam bulan puasa ini untuk saya bertemu dengannya dan saya minta dia cakap terus kepada ibu Aminulrasyid kenapa dia pertahankan tuduhan bahawa Aminulrasyid itu penjenayah sampai ke hari ini.

"Sepatutnya ini dilakukan oleh Noh Omar, Nawawi dan Salamon sedangkan mereka kenal ibu Aminulrasyid, mereka tahu dia bukan penjenayah tetapi mereka tak sanggup memberikan pembelaan kerana mereka tak sanggup melawan arahan ketua mereka.

"Saya akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin meminta bertemu dengan dia bersama dengan ibu Aminulrasyid dan kalau dia sanggup dulu bertemu dengan penunjuk perasaan kepala lembu dan memberikan mereka layanan VIP, saya harap dia akan sanggup bertemu dengan saya dan ibu mangsa dan saya mahu dia cakap kepada ibu Aminulrasyid kenapa dia dan pihak polis tuduh anaknya penjenayah," tegas Khalid.

Beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Norsiah semasa pertemuan mereka di majlis Makan Malam Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) Sabtu lalu.

Khalid menyifatkan kes kematian Aminulrasyid sebagai satu kezaliman yang tidak wajar dan perbicaraan yang dijalankan bukan untuk menuntut keadilan buat remaja itu.

"Perbicaraan yang diadakan adalah mahu menentukan sama ada anggota polis itu mengikut peraturan atau tidak tetapi bukan menentukan Aminulrasyid penjenayah atau tidak?," tegas Khalid.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009