AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, July 27, 2010

Zunar, Malaysiakini Saman KDN Kerana Haramkan Buku, Komik


KUALA LUMPUR 27 Julai - Laman portal Malaysiakini dan kartunis Zunar mengecam Kementerian Dalam Negeri berhubung pengharaman buku '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun' yang memaparkan karya-karya yang dihasilkan kartunis itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama semalam, Malaysiakini yang diwakili Premesh Chandran dan Zunar menganggap pengharaman tersebut sebagai tekanan politik bagi menyekat perbezaan pandangan dan idea di kalangan rakyat Malaysia.

Perkara itu tegasnya bertentangan dengan hak yang telah termaktub dalam artikel 10(1) perlembagaan negara.

"Kami telah membuat pendakwaan di mahkamah bahawa pengharaman ini merupakan salahguna kuasa oleh kerajaan untuk menghalang kritikan kepada dasar kerajaan dan perdana menteri. Kami tidak dapat memahami bagaimana buku kartun politik yang memberikan komen adil yang menyentuh satira politik Malaysia dan ahli politiknya boleh mengancam keselamatan awam.

"Tidak ada bukti sebarang gangguan atau dakwaan melakukan gangguan yang dilakukan kami. Tidak ada seorang pun dari kami diberi peluang untuk mendengar sebelum keputusan pengharaman buku ini dilakukan," ujar kenyataan tersebut.

1Funny Malaysia diterbitkan Malaysiakini pada November 2009 dan hampir kesemua kartun yang dihasilkan Zunar dalam buku itu disiarkan dalam laman portal itu bermula dari Oktober 2006 hingga November 2009.

Manakala Perak Darul Kartun, yang dihasilkan beberapa kartunis diterbitkan sendiri Zunar melalui syarikatnya, Sepakat Efektif Sdn Bhd pada November 2009.

Semalam kedua-dua pihak mengemukakan saman terhadap KDN bagi mencabar pengharaman kedua buah buku berkenaan.

Kedua pihak menganggap pengharaman buku kartun itu tidak selari dengan tindakan kerajaan yang cuba mempromosikan hak asasi manusia di seluruh dunia.

"Pengharaman ini tidak sah kerana melanggar hak kebebasan bersuara kami yang dijamin perlembagaan persekutuan dan ultra Vires (di luar skop) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana buku ini bukan memudaratkan orang awam.

"Pengharaman ini menyalahi undang-undang keadilan sebenar dan tidak dilakukan secara adil kerana kami tidak diberitahu sebelum pengharaman dan diberikan sebab pengharaman," tegasnya.

Justeru kedua pihak menuntut mahkamah membatalkan larangan terhadap dua buku tersebut dan meminta deklarasi mahkamah bahawa pengharaman itu batal dan tidak sah.

Kedua pihak juga menuntut KDN membayar ganti rugi berhubung kerugian yang ditanggung akibat pengharaman buku tersebut melalui saman yang difailkan.

Kedua-dua pihak melantik peguam cara Fahri Azzat daripada firma Azzat & Izzat dan kumpulan peguam yang terdiri daripada Edmund Bon Tai Soon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009